SUKAN

Piala Malaysia: Sri Pahang Tempah Tiket Separuh Akhir

22/12/2024 11:29 PM

TEMERLOH, 22 Dis (Bernama) -- Sri Pahang FC berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun hanya mencatat keputusan seri 3-3 dengan Perak FC dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam ini.

Kejayaan Skuad Tok Gajah ini disahkan menerusi kemenangan agregat 4-3.

Sri Pahang memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila prmain tengah Manuel Hidalgo membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi rembatan daripada sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Haziq Nadzli.

Tersentak dengan jaringan itu, Perak bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan cantik Wan Zack Haikal selang empat minit kemudian.

Pada minit ke-30, Hidalgo sekali lagi mencuri perhatian apabila menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang menerusi sepakan penalti selepas seorang pemain tuan rumah dikasari dalam kotak penalti.

Perak menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya menyamakan kedudukan buat kali kedua pada minit ke-41 apabila Jesper Gunnar Fernando meledakkan gol melalui hasil sepakan sudut iambil oleh Tommy Mawat Bada.

Menjelang penghujung babak pertama, Hidalgo melengkapkan hatriknya pada masa tambahan minit ke-48 menerusi sepakan penalti selepas Kpah Sherman dikasari dalam kotak penalti.

Memasuki babak kedua, Perak terus memberikan tekanan apabila prmain gantian Ahmad Daniel Hakimi berjaya menambah gol ketiga pasukan pada minit ke-64, menjadikan keputusan seri 3-3.

Walaupun perlawanan berakhir dengan keputusan seri, kelebihan agregat memastikan Sri Pahang mara ke separuh akhir.

Di separuh akhir nanti, Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad akan bertemu sama ada Sabah FC atau Kuching City FC yang akan beraksi pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Likas, malam

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy