SEREMBAN, 17 Dis (Bernama) -- Pendakwah selebriti Azman Syah Alias, atau lebih dikenali sebagai PU Azman, hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lepas.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhi hukuman itu selepas PU Azman, 43, mengaku bersalah pada prosiding sebutan semula kes tersebut.
Dalam penghakimannya, Surita berkata mahkamah mengambil kira fakta kes, mitigasi serta faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan tertuduh dan memerintahkan PU Azman menjalani sesi kaunseling selain pengawasan polis masing-masing selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwah itu dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi tiga pertuduhan serta lima tahun penjara dan satu sebatan bagi satu lagi pertuduhan namun diarah menjalani hukuman pemenjaraan secara serentak dari tarikh beliau diikat jamin iaitu pada 9 Okt lepas.
PU Azman didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di sini antara 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Feb dan 6 Julai 2022 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi, Nurul Balkis Zunaidi dan Norazihah Asmuni manakala PU Azman diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad serta Fahmi Adilah.
Terdahulu, Mohamad Zahid memohon anak guamnya dijatuhi hukuman paling minimum atas alasan beliau mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan sebelum perbicaraan selesai yang menjimatkan masa mahkamah.
“Beliau merupakan seorang pendakwah selebriti dan menyampaikan kuliah agama di seluruh negara. Punca pendapatannya juga hanya berdasarkan kepada perkongsian ilmu agama yang ada dan beliau telah memohon maaf serta insaf atas kesilapan itu.
“Beliau juga telah berada di penjara sejak 27 Sept lepas hingga kini bagi kes di Mahkamah Klang dan ini merupakan kesalahan pertama serta tidak pernah disabitkan dengan kesalahan lain sebelum ini,” katanya sambil menambah PU Azman adalah seorang duda.
Rashyidah Murni pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran ke atas tertuduh, mengambil kira kesalahan seksual yang dilakukan itu adalah serius selain perlu dikenakan pengawasan dan diberi bimbingan kaunseling.
“Tertuduh merupakan pendakwah selebriti dan perbuatan tersebut tidak harus dillakukan oleh pendakwah sepertinya terhadap kanak-kanak,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan terhadap PU Azman selepas beliau didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lepas manakala Mahkamah Majistret Klang pula menjatuhi hukuman penjara 14 bulan selepas pendakwah itu mengaku melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki.
-- BERNAMA