AM

ANWAR BERHASRAT WAJIBKAN MENTERI ALUMNI UM SUMBANG RM10,000 UNTUK PEMBANGUNAN UNIVERSITI

18/12/2024 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mewajibkan semua Menteri Kabinet yang juga alumni Universiti Malaya (UM) untuk menyumbang RM10,000 kepada Tabung Endowmen universiti itu (UMEF). 

Penaung Persatuan Alumni UM itu berkata langkah tersebut dapat membantu mahasiswa yang memerlukan bantuan dan meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh kerajaan kepada universiti berkenaan.

"Setuju kalau saya katakan bermula dengan Ahli Jemaah Menteri alumni, kita akan mulakan dana wajib RM10,000 seorang dan saya percaya setiap graduan universiti yang sumber pendapatannya lebih RM10,000 juga harus diwajibkan untuk menghulurkan sekurang-kurangnya RM1,000 kepada Tabung Endowmen UM,” katanya pada Majlis Makan Malam Alumni UM di Dewan Tunku Canselor di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor UM.

Antara alumni UM yang hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Anwar berkata bagaimanapun, cadangan itu bukan bermakna kerajaan mahu mengambil sikap lepas tangan dalam menyalurkan peruntukan kepada institusi berkenaan.

"Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab sebagai pemerintah tetapi seperti saudara saudari tahu, kita ada tekankan kebatasan kerana kita mewarisi keadaan ekonomi yang tidak diuruskan dengan begitu bertanggungjawab.

"Malah negara lebih terkenal dengan kelemahan tatakelola sehingga beban hutang mencecah RM1.5 trilion pada ketika ini," katanya sambil menambah jika sumbangan itu dikumpulkan oleh UMEF, sasaran RM500 juta mampu dicapai.

Naib Canselor UM Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman pula berkata tabung itu menyasarkan dana sebanyak RM1 bilion dengan RM500 juta adalah hasil daripada usaha gigih universiti dan alumni, sektor korporat serta industri manakala selebihnya diharap disokong oleh dana padanan daripada kerajaan.

"Sehingga kini, hasil dana dalaman dan luaran telah berjaya mengumpulkan RM220 juta dan dengan rendah hati, kami memohon sokongan dan dukungan yang berterusan daripada semua pihak terutama kerajaan untuk berganding bahu menjayakan agenda universiti.

"Sesungguhnya, sokongan yang diberikan adalah pelaburan dalam kecemerlangan masa depan negara," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy