EKONOMI

Trinity Group Rangkul Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia Bagi Kediaman Bertingkat Tinggi

19/12/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pemaju hartanah Trinity Group memenangi Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2024 bagi kategori kediaman bertingkat tinggi untuk pembangunan utamanya Trinity Pentamont di Mont Kiara di ibu negara.

Trinity Group yang beribu pejabat di Lembah Klang berkata, penghargaan berprestij ini menonjolkan reka bentuk Trinity Pentamont yang menjadi penanda aras dan memperteguh reputasi kumpulan dalam menyediakan ruang kediaman yang inovatif dan mewah.

“Terletak di kawasan mewah Mont Kiara, Trinity Pentamont setinggi 41 tingkat siap dibina pada 2022 dan mempunyai 330 unit yang luas, dengan kebanyakan unit mempunyai keluasan binaan melebihi 2,000 kaki persegi.

“Dinamakan dengan gabungan antara ‘penthouse’ dan ‘Mont Kiara,’ pembangunan ini merangkumi kehidupan gaya penthouse atau emper yang disesuaikan untuk keluarga moden dan pemilik rumah yang pandai menilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Standard Baharu Kediaman Bertingkat Tinggi

Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group Datuk Neoh Soo Keat berkata anugerah ini mencerminkan visi syarikat terhadap gaya hidup mewah yang menggabungkan fungsi dan komuniti.

“Kami membayangkan kediaman bertingkat tinggi dan pencetus perubahan yang menggabungkan aspek terbaik kemewahan, fungsi dan komuniti.

“Menggabungkan keluasan gaya penthouse dengan kemudahan bertaraf dunia, Trinity Pentamont mendorong gaya hidup mewah apabila penduduk boleh tinggal, bekerja dan bersosial tanpa mengalami gangguan,” katanya.

Antara ciri yang menarik perhatian adalah susun atur mesra keluarga untuk pelbagai generasi, kemudahan dua tingkat yang inovatif dan kemasan premium.

Kemudahan lain pula termasuk landskap air terjun, dapur selebriti, sarang pokok bergantung, kolam infiniti 50 meter dalam podium, gimnasium, dek meditasi dan ruang istirahat di taman.

“Kediaman ini, dengan ciri yang direka dengan teliti dan mempunyai ruang hijau adalah tempat perlindungan untuk keluarga dan individu hidup dengan selesa dan harmoni,” kata Neoh.

 

 

Anugerah FIABCI Pertama Trinity

Ini adalah percubaan dan kemenangan pertama Trinity dalam anugerah tahunan berkenaan. Pengiktirafan yang diraih menerusi Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia membuktikan reka bentuk luar biasa Trinity Pentamont yang mengutamakan keluasan, kemewahan dan fungsi.

Kemudahan dua tingkat yang disediakan memenuhi pelbagai gaya hidup manakala lokasi strategiknya memanfaatkan kehidupan yang dinamik di bandar Mont Kiara.

“Kemenangan yang diraih menerusi percubaan pertama kami adalah pencapaian luar biasa. Kami berterima kasih kepada pasukan, arkitek, kontraktor dan pembeli kerana menjadikannya kenyataan.

“Anugerah ini menekankan reka bentuk luar biasa Trinity Pentamont yang mengutamakan keluasan, kemewahan dan kesalinghubungan strategik.

“Terletak berhampiran lebuh raya utama seperti Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Sprint, penduduk mendapat akses mudah ke pusat bandar Kuala Lumpur, sekolah antarabangsa, pusat perubatan, dan pusat membeli-belah,” kata Neoh.

 

 

Penanda Aras Kehidupan Bandar Moden 

Melangkah masuk, penduduk di kediaman ini disajikan dengan porte-cochère tiga tingkat, lobi lif premium, dan perkhidmatan concierge, yang menekankan ketelitian kumpulan itu.

Pembangunan ini menyasarkan pembeli tempatan, pelabur, ekspatriat dan keluarga pelbagai generasi yang menginginkan kediaman mewah di Mont Kiara.

“Pengiktirafan ini memperlihatkan tumpuan kami untuk mencipta ruang kediaman premium mampu milik kepada rakyat Malaysia dan pada masa sama mentakrifkan semula gaya hidup mewah yang moden.

“Trinity Group akan terus menetapkan piawaian baharu dalam pembangunan hartanah, menggabungkan reka bentuk inovatif, kemudahan yang tiada tandingan, dan pembinaan komuniti untuk memberikan nilai yang berkekalan, sejajar dengan komitmen kami untuk membina kecemerlangan dan mencipta legasi,” kata Neoh.

Untuk maklumat lanjut, layari www.trinitygroup.com.my.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy