EKONOMI

Matrade, DMDI Bekerjasama Untuk Tingkatkan Galakan Eksport

20/12/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama untuk menggalakkan perdagangan serta eksport.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata melalui kerjasama ini, pihak-pihak terlibat  akan mewujudkan rangka kerja komprehensif untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang utama.

"MATRADE dan DMDI akan bersama-sama dalam memudahkan misi perdagangan, penyertaan dalam acara perdagangan antarabangsa utama serta menghubungkan syarikat Malaysia dengan pihak berkepentingan terkemuka, rakan kongsi dan pembeli berpotensi.

"Selain itu,  syarikat Malaysia akan dihubungkan bersama komuniti perniagaan di negara-negara bersekutu dengan DMDI," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata apabila pasaran global terus berkembang, adalah penting bagi pengeksport untuk kekal dimaklumkan mengenai dinamik pasaran terkini dan keistimewaan sebelum memasuki pasaran baharu.

"Strategi untuk memasuki pasaran global mungkin berbeza, bergantung kepada negara sasaran, tetapi semua pasaran memerlukan pengeksport untuk memanfaatkan platform dan trend perniagaan terkini serta media dalam talian, sama ada untuk mengembangkan eksport dalam pasaran sedia ada atau mempelbagaikan ke pasaran baharu," katanya.

Beliau berkata kerjasama ini juga akan melibatkan pertukaran dan penyebaran maklumat berkaitan perdagangan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang bagi pengeksport Malaysia dan untuk memberi inspirasi kepada komuniti perniagaan melalui kisah kejayaan inisiatif ekonomi di rantau ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Ekonomi DMDI, Prof. Datin Seri Azreen Abu Noh berkata kerjasama ini sangat penting bagi DMDI kerana ia membuka horizon dan platform baharu untuk rangkaian ekonomi yang lebih luas dan akses ke pintu masuk pasaran.

"Ini pasti akan memberi manfaat kepada MATRADE dan usahawan-usahawan lain selain memberikan mereka pandangan yang lebih baik terhadap negara-negara DMDI kami," katanya.

MATRADE berkata MoU ini menekankan komitmennya untuk mengoptimumkan kerjasama dengan rakan strategik, baik domestik mahupun antarabangsa bagi meluaskan akses pasaran, meningkatkan prestasi eksport serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Kami yakin kerjasama dengan DMDI akan menjadi platform yang bermakna untuk menghubungkan dan memperkasa komuniti perniagaan Melayu-Islam di seluruh dunia.

"Kerjasama ini adalah usaha berterusan oleh MATRADE dalam membawa syarikat Malaysia ke pasaran global secara lebih inklusif, merangkumi pelbagai sektor dan pasaran," katanya.

Pertukaran MoU berkenaan disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis perasmian Ekspo Pengguna Malaysia 2024 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy