KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan dasar dan transformasi berasaskan Konsep MADANI menyaksikan Kerajaan Perpaduan sepanjang 2024 ini memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mengimbangi kos sara hidup.
Konsep MADANI yang menekankan enam nilai teras iaitu 'Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan' merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabungkan amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang diketengahkan untuk menangani setiap isu baharu dan ketidakpastian.
Ke arah pembaharuan itu, gaji minimum dan penambahbaikan gaji merupakan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas.
Sejajar dengan pengumuman itu, kadar gaji minimum bagi pekerja akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb tahun depan. Langkah ini diambil untuk memastikan pekerja menerima upah yang setimpal dengan kos sara hidup semasa.
Bukan itu sahaja, dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat, kerajaan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif yang dilaksanakan secara rintis pada Jun lepas, dengan peruntukan RM200 juta bagi memanfaatkan 50,000 pekerja di negara ini tahun depan. Dasar ini memberi peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan pendapatan berdasarkan prestasi kerja.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, pelatih guru yang mengikuti Program Ijazah Muda Pendidikan akan menerima elaun sara hidup RM530 pada tahun hadapan berbanding RM430 yang diterima pada tahun sebelumnya. Ini merupakan insentif penting untuk menggalakkan lebih ramai individu menceburi bidang pendidikan.
Transformasi terhadap bantuan pendidikan dan sosial juga tidak dilupakan kerajaan untuk memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak terpinggir dari segi ekonomi dan sosial menerusi Bantuan OKU melalui peruntukan tambahan sehingga RM1.3 bilion pada tahun depan.
Tidak dilupakan juga Bantuan Warga Emas sebanyak RM600, penyediaan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM800 juta pada tahun hadapan bagi meringankan beban kewangan keluarga, Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin yang berusia antara tujuh hingga 18 tahun sebanyak RM200 serta peruntukan RM60,000 bagi pembelian tiket penerbangan untuk mahasiswa yang perlu pulang ke kampung halaman atau menghadiri program luar kampus juga disediakan kerajaan MADANI yang mendengar denyut nadi rakyat yang memerlukan.
Kerajaan Perpaduan pada tahun ini melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sekali gus merealisasikan hasrat 1.6 juta penjawat awam yang menantikan pelarasan gaji baharu sejak 12 tahun lepas.
Pelarasan gaji 15 peratus diberikan kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi menerusi SSPA, yang dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Dis 2024 (Fasa Satu) dan 1 Jan 2026 (Fasa Dua).
Anwar yang mengumumkan khabar baik itu pada 16 Ogos lepas memaklumkan SSPA dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam tetapi ia merupakan satu sistem saraan berteraskan prestasi.
“Yang mengetepikan tugas, cuai dan malas, saya nak beritahu mereka ini tidak akan diberi layanan dan ganjaran setimpal. Kalau lembab, malas dan cuai, walau sudah kerja 20 tahun, peningkatan pendapatan tidak akan dijamin,” kata Anwar yang merupakan Menteri Kewangan.
Ketegasan Perdana Menteri mengenai hal berkenaan membuktikan bahawa pelaksanaan transformasi gaji penjawat awam itu dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam serta menjaga kesejahteraan pegawai, selain memberi manfaat kepada penjawat awam secara amnya.
Di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang merupakan tunjang utama dalam struktur pentadbiran kerajaan Malaysia bersama-sama Anwar, mengemudi reformasi menyeluruh dalam perkhidmatan awam untuk menjadikannya lebih inklusif, cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Buktinya dalam tempoh 100 hari pertama kepimpinan Shamsul Azri, pelbagai inisiatif reformasi berkaitan pinsip integriti, kecekapan dan inovasi yang diterapkan oleh beliau, tidak hanya mengubah struktur pentadbiran tetapi juga membentuk minda dan budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam.
Bukan itu sahaja, pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU), aplikas MyDigital ID serta program 'AI untuk Rakyat' - program pembelajaran kendiri mengenai kecerdasan buatan AI dalam talian, pencetus perubahan bagi pengurusan data adalah satu anjakan besar dalam sistem pentadbiran negara. Ia memberi manfaat cukup besar dan tahap keselamatannya pula tidak perlu diragui.
Rasionalisasi subsidi adalah sebahagian daripada pembaharuan ekonomi dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan, dengan antara lain menamatkan subsidi untuk ayam dan telur, pengapungan harga barangan, menghentikan subsidi elektrik kepada isi rumah berpendapatan tinggi serta melaksanakan pendekatan bersasar bagi diesel.
Sepanjang pelaksanaannya, sememangnya diperakui bahawa rasionalisasi subsidi adalah pembaharuan struktur yang penting bahawa kerajaan komited untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan memperluaskan asas pendapatan negara serta disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih utama seperti pembangunan untuk sektor pendidikan dan kesihatan.
Malah keputusan kerajaan untuk meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 menyerlahkan komitmennya untuk menyokong kumpulan B40, antara langkah efektif bagi mengurangkan kesan penyasaran subsidi dan peningkatan kos sara hidup.
Ketegasan kerajaan mengambil langkah tidak popular dengan keazaman politik berani demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara lebih mampan wajar disokong sepenuhnya kerana ia bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya disalurkan semula melalui pelbagai bantuan termasuk pemindahan tunai bagi meringankan kos sara hidup.
-- BERNAMA