AM

SKM Peruntuk RM580,000 Bantu Mangsa Banjir Di Beberapa Negeri

19/12/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntuk RM580,000 menerusi inisiatif Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa negeri. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu, Kelantan menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM200,000 memandangkan negeri itu mempunyai bilangan mangsa paling ramai yang terkesan akibat bencana banjir.

Beliau berkata lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) di Kelantan dijangka menerima bantuan dalam inisiatif tersebut daripada keseluruhan 5,800 KIR yang akan menerima manfaat, melibatkan pemberian kit pembersihan kediaman dan bakul makanan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) (menerusi SKM) terus komited untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang telah terkesan daripada bencana banjir tersebut. Saya harap lebih banyak bantuan akan dihulurkan (selepas ini).

“Ini adalah amalan yang telah dilaksanakan sejak sekian lama melalui SKM, namun kita juga perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau sentiasa mengambil berat terhadap keadaan dan situasi mangsa banjir tanpa mengira latar belakang politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Pengerusi SKM Leftenan Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar.

Majlis pelancaran Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi, yang bermula di Kelantan, menyaksikan upacara flag off melibatkan 14 kenderan pacuan empat roda (4x4) dan sebuah lori bagi mewakili 14 Parlimen di seluruh negeri itu.

Dalam pada itu, Ramanan berkata mana-mana koperasi di bawah SKM yang mempunyai aset atau projek yang terkesan akibat bencana banjir layak untuk menerima bantuan di bawah tabung kecemasan sebanyak RM30,000 maksimum.

Beliau bagaimanapun berkata laporan polis perlu disediakan bagi memohon bantuan tabung kecemasan itu serta mengikut syarat dan terma-terma lain.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy