AM

Jambatan Keluli Sungai Chatel Damai Di Kelantan Siap, Noktah Kesukaran Pergerakan Penduduk

15/03/2026 04:47 PM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Jambatan keluli Sungai Chatel Damai di Kampung Chatel, Lata Rek, Kelantan yang siap dibina baru-baru ini menoktahkan kesukaran pergerakan penduduk kawasan di kawasan itu sejak lebih tiga dekad.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembinaan jambatan itu, yang bermula pada 29 Jan lepas, berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh enam minggu, iaitu pada 11 Mac.

Kenyataan itu menyebut projek strategik berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Kerajaan MADANI membuktikan tekad membina masa depan rakyat melalui penyempurnaan jambatan keluli Sungai Chatel Damai  sekali gus menoktahkan rintihan penduduk yang terbelenggu masalah perhubungan sejak tiga dekad.

“Projek strategik ini merupakan manifestasi jelas agenda Ihsan dan Keadilan Sosial dalam memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pemodenan negara, menerusi penyerahan rasmi kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hari ini,” menurut kenyataan itu.

ICU JPM memaklumkan dengan adanya jambatan yang lebih kukuh, keselamatan dan urusan ekonomi penduduk kini lebih terjamin serta berjalan lancar.

Kenyataan itu memaklumkan kemudahan berkenaan terhasil susulan tindakan pantas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan unit berkenaan melalui ICU JPM Kelantan pada 2 Jan lepas untuk merealisasikan projek tersebut.

“Inilah bukti Kerajaan MADANI sentiasa bekerja keras mengutamakan kesejahteraan rakyat di luar bandar… projek pantas ini membuktikan komitmen dan dedikasi tinggi ICU JPM Negeri Kelantan dalam merealisasikan hasrat Perdana Menteri agar infrastruktur penting ini dapat digunakan oleh rakyat sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Jambatan baharu itu berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar serta mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan sekali gus membolehkan laluan kereta dan lori ringan berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada motosikal serta basikal.

Menurut ICU JPM, kejayaan projek itu membuktikan penyediaan infrastruktur berkualiti menjadi kunci utama kepada kesejahteraan hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Di Kuala Krai, KELANTAN, Wan Shukri Wan Isa, 54, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu cakna dengan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Chatel.

“Sejak titi gantung yang menjadi satu-satunya penghubung penduduk runtuh, kami hanya mampu membaiki kerosakan itu secara ala kadar bagi membolehkan ia terus digunakan.

“Setiap kali menggunakan titi gantung itu, penduduk terpaksa melangkah dengan penuh berhati-hati terutama pada waktu malam... malah, kaki kanak-kanak juga sering terjerlus sekiranya tersilap langkah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Jambatan Jenis Keluli di Sungai Chatel Damai, Kampung Chatel, Lata Rek di sini hari ini. 

Wan Shukri turut menyifatkan jambatan baharu itu sebagai "hadiah" bersempena dengan ketibaan Aidilfitri daripada Perdana Menteri yang mengakhiri rintihan penduduk yang telah dibelenggu oleh masalah tersebut sejak lebih 30 tahun, selain menyediakan laluan lebih selamat dan selesa untuk pejalan kaki serta kenderaan

Seorang lagi penduduk, Siti Rohani Abdullah, 43, pula berkata pembinaan jambatan baharu itu memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini terpaksa berdepan risiko setiap kali menggunakan titi gantung berkenaan.

Dia berkata jambatan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk malah turut meningkatkan tahap keselamatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas yang menggunakannya setiap hari.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534623