SEMPORNA, 19 Dis (Bernama) -- Sitti Bandorah Mahalil balu kepada Sarjan Abd Azis Sarikon yang terkorban dalam Tragedi Tanduo pada 2013 akan membuat laporan polis berhubung isu perobohan rumah keluarganya.
Wanita itu berkata beliau sedia dibicarakan mengikut lunas undang-undang dalam usahanya mempertahankan rumah pusaka tersebut.
Sitti Bandorah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata bapanya membina rumah di Kampung Alab, Pulau Bodgaya pada 1970-an dan selepas itu mengusahakan beberapa ekar tanah di pulau berkenaan dengan menanam pokok buah-buahan seperti mangga, longan dan kelapa.
"Taman-Taman Sabah ada mengeluarkan notis pengosongan rumah pada Mei tahun ini dan pada Jun lalu empat rumah keluarga abang saya, sebuah rumah kakak saya yang dibina di atas air di pulau itu dirobohkan pihak penguat kuasa dan mereka terpaksa berpindah ke pekan Semporna.
"Pada Isnin lepas (16 Dis) saya ke pulau itu untuk mengadakan kenduri doa selamat di rumah pusaka itu kerana saya akan berangkat untuk umrah pada bulan depan, pada Selasa berlaku perobohan rumah melibatkan 10 rumah jiran dan tanaman mereka ditebang, semalam pula, rumah saya serta tiga lagi rumah adik-beradik yang dibina di daratan 'dibuka'," katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun hari ini berkata isu perobohan itu telah dieksploitasi dan dimanipulasi pihak tertentu bagi melemahkan operasi perobohan rumah setinggan pendatang haram di Semporna yang sedang dilaksanakan.
Jauteh dilaporkan berkata tiada perancangan untuk merobohkan rumah tersebut kerana operasi hanya menyasarkan rumah setinggan pendatang haram bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.
-- BERNAMA