JENAYAH & MAHKAMAH

Serangan Ulu Tiram, Episod Duka Yang Tidak Mahu Diulang

20/12/2024 10:38 AM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

JOHOR BAHRU, 20 Dis  (Bernama) -- Serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi 17 Mei lepas antara episod duka yang menggemparkan negara tahun ini dan akan kekal menjadi peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara.

Serangan secara bersendirian atau ‘lone wolf’ yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu menjadi antara kes yang mendapat perhatian serius bukan sahaja dalam negara malah luar negara.

Negara jiran termasuk Singapura dan Indonesia turut memperketatkan kawalan keselamatan masing-masing dan mengeluarkan nasihat perjalanan ke Malaysia susulan kejadian itu. 

Dalam kejadian itu, dua anggota polis terkorban iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, manakala seorang lagi anggota Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera.

Lelaki berusia 21 tahun yang melakukan serangan nekad itu dengan bersenjatakan parang turut mati ditembak di lokasi kejadian.

Serangan itu pada mulanya dikaitkan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), bagaimanapun kemudian disangkal Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas siasatan polis mendapati penyerang itu yang juga suspek utama bergerak sendirian.

Saifuddin dipetik berkata tindakan lelaki itu tiada kaitan dengan kumpulan terancang sebagaimana kesimpulan awal pihak polis selepas menemu bual 46 individu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut menjelaskan bahawa kenyataan awal tentang suspek sebagai ahli JI itu adalah berdasarkan penglibatan bapanya dengan kumpulan pengganas tersebut.

Ini sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat yang bimbang kumpulan itu kembali aktif di selatan tanah air yang pernah menjadi 'medan usrah' ahli kumpulan berkenaan di Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram sekitar 1996 dan 1997.

Selepas kejadian itu, lima anggota keluarga suspek ditahan dan didakwa atas tuduhan berkaitan keganasan selain satu operasi serentak di Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor diadakan yang membawa kepada tangkapan lapan individu disyaki terlibat kegiatan ekstremisme dan elemen radikalisme Daesh.

Sebagai menghargai jasa dan peranan anggota terlibat dalam kejadian itu, Allahyarham Ahmad Azza dan Allahyarham Muhamad Syafiq masing-masing dinaikkan pangkat Koperal secara ‘posthumous’. 

Tiga anggota lain turut menerima kenaikan pangkat secara medan termasuk Mohd Hasif yang dinaikkan ke pangkat Sarjan manakala Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Tidak dinafikan insiden kejam itu telah membawa kepada tindakan pengukuhan tahap keselamatan lebih baik di balai polis seluruh negara termasuk pemasangan kamera litar tertutup serta lampu limpah bagi paramater kawasan tertentu di dalam kawasan balai.

Bagi kesiapsiagaan atas sebarang kemungkinan pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis, Saifuddin Nasution turut mengumumkan pintu pagar balai polis ditutup lebih awal iaitu selepas 10 malam.

Beliau turut dilapor berkata berpandukan insiden ini, pihak polis akan membangunkan profil lengkap mengenai langkah sewajarnya bagi membendung penyebaran fahaman ekstremisme antara lain bagi mengelak insiden sama berulang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy