Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 20 Dis (Bernama) -- Selama lebih dua dekad, Gunabalan Krishnasamy menghabiskan kebanyakan masanya di rumah, mengambil alih tanggungjawab sebagai “suri rumah” apabila isteri tercinta Datuk Seri Chong Eng berkecimpung dalam arena politik, bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 1999.
Sejak itu, Gunabalan memainkan peranan sebagai penjaga utama dua anak lelaki mereka, khususnya si bongsu Omprekash yang ketika itu baru berusia lima tahun.
Namun, dalam kesibukan menguruskan keluarga, Gunabalan yang mempunyai kelulusan dalam bidang seni daripada Universiti Sains Malaysia dan seterusnya Arizona State University di Amerika Syarikat, tetap mencuri masa untuk bidang yang dicintainya, iaitu seni lukis.
Serangan strok pada 2017 yang menyebabkan pergerakannya terbatas, tidak menghalang beliau daripada terus berkarya, dan hingga kini Gunabalan telah menghasilkan lebih 100 karya yang diinspirasikan latar belakangnya, selain menggubah bahan terbuang menjadi arca seni dengan pengkisahan tersendiri.
Tahun lepas, Chong Eng memutuskan untuk berundur dari arena politik, dan sebagai menghargai pengorbanan Gunabalan terhadap keluarga mereka, wanita itu bersama-sama dua anak mereka merealisasikan impian yang telah lama dipendam oleh Gunabalan, iaitu mengadakan pameran solo.
pic-2
Bagi Gunabalan, walaupun impiannya hanya menjadi kenyataan pada usia beliau mencecah 77 tahun, pameran itu membawa makna yang cukup besar, lebih-lebih lagi diusahakan oleh insan terpenting dalam hidupnya.
“Mengapa saya lewat mengadakan pameran? Kerana saya mengahwini seorang tokoh politik yang hebat.
“Ketika dia (Chong Eng) menjadi ahli politik, saya menjadi ‘house husband’, tetapi pada masa sama saya mula menghasilkan koleksi bagi karya-karya lukisan saya but no time for exibition. Sekarang dia sudah bersara dan mengambil inisiatif menganjurkan pameran ini untuk saya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Bertajuk Social Cultural Justice Art, pameran yang diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dari 7 hingga 15 Dis lepas menampilkan 69 koleksi karya Gunabalan yang dibahagikan kepada enam siri.
Siri The Faces of the Forgotten terdiri daripada 30 karya seni, mengenang buruh India yang dipaksa bekerja untuk membina landasan kereta api semasa zaman penjajahan Jepun.
pic-3
Siri Roots and Tracks pula menampilkan sumbangan penoreh getah dan pekerja landasan kereta api, yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai pengeluar getah terbesar dunia, manakala siri Echoes of the Divine meneroka persimpangan rohani dan budaya yang membentuk visi Gunabalan dengan menggabungkan falsafah timur, motif kerohanian serta simbolisme silang budaya.
Siri keempat The Himalayan Journey diilhamkan daripada perjalanan kerohanian beliau bersama-sama dengan para guru ke kawasan pergunungan Himalaya dengan lembah hijau dan aliran sungai.
Dedah Gunabalan, beliau mempunyai hubungan yang mendalam dengan kereta api dan getah kerana datuknya dipaksa bekerja semasa Perang Dunia Kedua untuk membina landasan kereta api di Thailand.
Katanya, ribuan nyawa terkorban, termasuk datuknya yang tidak pernah kembali dan kisah peribadi tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk menamakan pameran sulungnya itu sebagai Social Cultural Justice Art.
Beliau juga terkenal dengan kebolehan memberi “kehidupan” baharu kepada bahan terbuang seperti kayu hanyut dan jubin yang pecah, dengan menjadikan bahan-bahan terbabit karya seni, seiring dengan kepercayaannya terhadap kelestarian alam sekitar.
pic-4
Konsep itu ditampilkan dalam siri kelima iaitu Echoes of Renewal menerusi beberapa karya yang menggunakan kertas surat khabar lama yang rosak akibat banjir.
Dua karya terkenal dalam siri itu menggambarkan seekor ikan berenang sendirian di lautan yang diilhamkan oleh perjalanan politik Chong Eng sebagai satu-satunya wakil pembangkang dalam DUN Pulau Pinang dari 1995 hingga 1999.
Siri terakhir ialah Fragments of Resilience yang mendokumentasikan perjuangan dan ketabahan Gunabalan selepas diserang angin ahmar dengan menggunakan gaya dan warna sangat berbeza daripada karya sebelumnya bagi mencerminkan perjalanan emosi serta fizikalnya.
pic-5
Sementara itu, Chong Eng berkata pameran tersebut merupakan penghargaan buat suaminya kerana telah banyak berkorban untuk keluarga, terutama dalam membesarkan dua anak mereka, Jothi Jhen Hao dan Omprekash yang masing-masing kini sudah berusia 38 dan 29 tahun.
“Dulu saya sibuk bekerja, tak ada masa untuk dia. Dalam dua, tiga tahun kebelakangan ini memang kami ada merancang untuk mengadakan pameran untuk dia tapi tidak berkesempatan. Hanya selepas saya bersara baru dapat direalisasikan.
“Sebelum ini saya di depan dan dia di belakang saya, tetapi kali ini biarlah dia pula di depan dan saya menyokongnya di belakang,” katanya.
Chong Eng dalam pada itu turut terharu dengan sambutan menggalakkan, terutama daripada rakan-rakan, terhadap pameran tersebut biarpun pertama kali dianjurkan.
Malah katanya, lebih 20 buah lukisan telah terjual.
-- BERNAMA