IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai.
Anwar berkata keputusan itu tertakluk kepada kuasa mahkamah dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan tidak wajar menyamakan pentadbirannya dengan pentadbiran terdahulu berkaitan kes-kes di mahkamah.
"Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.
"Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau dirasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: 'Malaysian First' Jilid 1 dan 2 di sini hari ini.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
-- BERNAMA