KUALA LUMPUR, Dec 20 (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu menangani kesan pelarasan premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) terhadap pemegang polisi.
Langkah-langkah itu antaranya melibatkan penginsurans dan pengendali takaful (ITO) untuk melaksanakan perubahan premium yang diagihkan disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.
Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah-langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026.
“Menerusi langkah-langkah ini, sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka mengalami pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan kurang daripada 10 peratus,” katanya.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata langkah-langkah interim ini akan memberikan sokongan sementara kepada pemegang polisi, namun, pembaharuan kesihatan yang lebih meluas perlu dipercepat berserta komitmen untuk mencapai hasil yang jelas bagi tahun-tahun akan datang.
“Kita perlu menangani punca-punca utama kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan yang didorong oleh kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang lebih tinggi.
“Produk MHIT juga perlu ditambah baik untuk menjadikan produk tersebut lebih mampan dan selaras dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang mengutamakan hasil kesihatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Abdul Rasheed berkata bank pusat sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan ITO dengan semua pihak memberikan sokongan dan komited mendapatkan penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu yang rumit ini.
BNM berkata langkah-langkah interim lain adalah bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, ITO akan menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu iaitu selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka.
“Langkah-langkah interim itu tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi. Hal ini akan diuruskan secara berasingan oleh ITO,” katanya.
Pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi MHIT mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium ini boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah ini tanpa keperluan pengunderaitan tambahan.
Semua ITO juga akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
.“ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung tahun 2025.
“Pertukaran kepada produk MHIT alternatif tidak akan memerlukan sebarang pengunderaitan tambahan atau melibatkan apa-apa kos pertukaran. Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain bagi membendung inflasi kos perubatan, akan mengelakkan pelarasan premium yang tinggi pada masa hadapan,” kata bank pusat.
BNM berkata, makluman berkenaan dengan langkah-langkah ini oleh ITO kepada pemegang polisi individu akan dilaksanakan secara berperingkat. Pemegang polisi juga boleh menghubungi ITO masing-masing mulai 15 Januari, 2025.
-- BERNAMA