PASARAN

Pasaran Getah Tempatan Ditutup Tinggi

20/12/2024 08:16 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) seiring pemulihan pasaran niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah ramalan cuaca buruk berterusan di beberapa negara pengeluar utama, kata peniaga.

Pada 5.01 petang, ringgit menyusut kepada 4.5060/5100 berbanding dolar AS berbanding 4.5030/5080 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh prospek rangsangan fiskal yang mengukuh daripada China berikutan pendekatan terbaharu bank pusat negara itu.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penyusutan dalam penanda aras harga minyak mentah ketika peniaga menganalisis statistik (terkini) getah asli yang dikeluarkan oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC),” katanya kepada Bernama. 

Menurut ANRPC, pengeluaran getah asli global sehingga November 2024 mencapai paras 12.7 juta tan, peningkatan 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Permintaan getah asli global berjumlah 13.9 juta tan, menokok 0.5 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023.

Sementara itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat empat sen kepada 869 sen sekilogram, manakala lateks pukal melonjak 2.5 sen kepada 721.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga SMR 20 berada pada 868 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 723 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy