AM

Mindef Tidak Bercadang Perkenal Model Elaun Kepada PLKN 3.0

20/12/2024 10:10 PM

ALOR GAJAH, 20 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak bercadang untuk memperkenalkan model elaun kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadual bermula 12 Jan depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan, kecuali untuk menanggung kos perjalanan peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai program itu.

“Setakat ini kita (MINDEF) secara umum tidak bercadang untuk memperkenalkan model elaun, kita lebih banyak memperkenalkan model untuk menanggung semua keperluan (peserta).

“Buat masa ini (elaun) kita tak ada putuskan lagi… yang kita putuskan adalah untuk beri mereka tanggungan perjalanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Zakat oleh Pertubuhan Akademi Al Bayan kepada asnaf, fakir miskin dan ibu tunggal di Kampung Bukit Senggeh, di sini hari ini.

Adly yang  juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata persiapan untuk pelaksanaan PLKN 3.0 membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan SPM itu kini mencapai tahap 100 peratus, sebelum program latihan atau fasa percubaan berkenaan diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun depan yang turut membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi. 

Beliau berkata latihan bagi kumpulan pertama selama 45 hari yang akan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur itu merangkumi kemudahan fasiliti di kem, jurulatih, modul latihan dan pentadbiran.

"Kita hanya tunggu masa untuk melaksanakannya pada Januari hingga Februari depan dan kebanyakan (persediaan) adalah melibatkan keperluan pelatih, termasuk kos perjalanan yang akan ditanggung kerajaan di samping makan, minum serta keperluan seharian mereka seperti pakaian. 

"Jadi kita boleh katakan program ini adalah latihan secara percuma dan selepas 45 hari berada di kem latihan itu, kita harap jati diri, keyakinan dan kemahiran hidup pelatih-pelatih ini akan lebih mantap," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata pusat dakwah atau institusi pendidikan yang ditubuhkan perlu meningkatkan keupayaan pelajar mereka dalam bidang bahasa. 

"Saya fikir pembangunan ini (berbahasa) sangat sesuai dengan kehendak Melaka sebagai negeri pelancong dan ia juga amat penting bagi tujuan keamanan kerana salah satu cara adalah berdiplomasi. Konteks diplomasi paling utama adalah kemampuan memanfaatkan bahasa sebagai perantara diplomasi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy