AM

Pentaskan Naskhah Agung Sulalatus Salatin Langkah Berani - JKKN Melaka

21/12/2024 11:33 AM

MELAKA, 21 Dis (Bernama) -- Menterjemahkan karya agung Sulalatus Salatin yang diiktiraf sebagai warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ke atas pentas teater adalah satu langkah berani, kata Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Alias.  

Beliau berkata kebanyakan JKKN negeri lain mengambil karya agung dalam banyak konteks dan hasil karya sasterawan negara, tetapi hanya Melaka berani mengambil naskhah sejarah diiktiraf Unesco yang merekodkan 32 salinan di seluruh dunia untuk dipentaskan secara teater purbawara muzikal. 

"Naskhah dikarang Tun Sri Lanang yang turut digelar Sejarah Melayu ini memang kontroversi namun sangat mengagumkan kerana ia sarat dengan falsafah yang saya kira sangat mencabar untuk diterjemahkan ke pentas teater daripada aspek penulisan skrip dan pemilihan pelakon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pementasan teater Purbawara Muzikal Manifestasi Karya Agung Sulalatus Salatin: Keagungan Kemaharajaan Maritim, di Panggung Seri Kompleks JKKN Melaka, di sini malam tadi. 

Ezlina berkata pementasan karya agung itu juga membuka peluang kepada golongan muda menghayati naskhah hebat dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan menyeronokkan.

"Seperti dalam naskhah ini, ada disebut mengenai kapal selam atau peti kaca ketika Raja Suran turun ke dalam laut untuk mengembara dan imaginasi ini telah melangkau zaman, dan saya anggap ia lebih dahsyat daripada karya Lord of The Rings atau Harry Potter

'"Jadi menjadi tanggungjawab JKKN untuk mengetengahkan karya-karya agung ini dengan gaya yang mudah kerana siapa nak baca dalam bahasa klasik yang sukar difahami. Apabila dibuat dalam bentuk sebegini, ia berjaya mengajak orang ramai untuk datang dan menghayatinya," katanya. 

Sementara itu pengarah teater Siti Rohaya Attan mengakui cabaran yang digalas dalam menterjemahkan karya itu ke pentas teater bukan sedikit terutama apabila perlu bermula daripada kosong dan dalam tempoh waktu yang sangat singkat. 

"Skrip pun tak ada. Jadi kita buat skrip dalam tempoh tiga minggu dan bermula daripada saat saya ‘dipinang’ untuk mengerjakan naskhah ini sehingga malam pementasan ini, semuanya dalam masa dua bulan. 

"Namun kita tahu naskhah ini adalah sejarah bangsa kita dan saya ambil semangat itu untuk dipentaskan, beri peluang kepada generasi muda dari luar Kuala Lumpur menghayatinya terutama dengan apa yang berlaku sekarang. Ramai orang mula lupa asal usul, anggap kita bangsa yang kalah, tak cerdik... sedangkan dalam Sulalatus Salatin membuktikan kita bangsa yang hebat," katanya. 

Pementasan teater purbawara muzikal yang berlangsung selama tiga hari bermula malam tadi (Jumaat) di Panggung Seri JKKN Melaka adalah kolaborasi antara Persatuan Gerakan Anak Seni dengan CTRA Production serta kerjasama JKKN Melaka yang mendapat sokongan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy