KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Artis rap Balan Kash terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air menerusi pelancaran album berbahasa Melayu pertama beliau bertajuk CEKAP.
Album itu yang menggabungkan rentak pop-rap menampilkan lima buah lagu dinamik yang menyerlahkan lagi bakat Balan Kash sebagai penyanyi serba boleh.
Bercakap pada sidang media bagi mempromosikan album beliau baru-baru ini, Balan Kash berkongsi tentang motivasi yang mendorong beliau terlibat dalam projek berbahasa Melayu dengan penekanan pada kepentingan perpaduan.
“Kita tidak seharusnya dibatasi oleh label kaum. Lebih-lebih lagi kita semua rakyat Malaysia dan itulah yang paling penting,” katanya.
Jelas beliau, CEKAP bertujuan memberi inspirasi yang membawa kepada kebersamaan, sekali gus meruntuhkan tembok pemisah antara kaum.
pic-2
“Saya mahu merobohkan tembok pemisah ini, membina perpaduan dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang agar mengamalkan semangat keterangkuman dan identiti bersama ini,” kata anak seni berketurunan India itu.
Menyoroti cabaran yang dihadapi semasa penghasilan album itu, Balan Kash menzahirkan penghargaan kepada ikon industri yang memberi bimbingan kepadanya, termasuk artis terkenal Faizal Tahir.
“Dibimbing oleh mentor yang hebat dalam projek ini merupakan satu keistimewaan dan juga cabaran. Saya berasa bertanggungjawab untuk memastikan saya dapat memenuhi standard tinggi yang mereka tetapkan dalam karya mereka,” katanya.
“Prosesnya sangat mencabar tetapi saya gembira CEKAP diterima baik dan dihargai,” tambah beliau.
Balan Kash dikenali menerusi muzik yang merentasi perbezaan kaum. Dalam tempoh lebih sedekad menceburi dunia muzik tanah air, beliau membina reputasi melalui penghasilan lagu-lagu versatil dalam bahasa Tamil dan Inggeris.
Pada 2016, beliau menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi kolaborasinya dengan komposer terkenal India, Anirudh Ravichander, menghasilkan lagu hit Hola Amigo yang meraih lebih 2.3 juta tontonan di YouTube.
-- BERNAMA