AM

Pasar Kedai Payang Dibanjiri Pengunjung Sempena Cuti Sekolah

22/12/2024 04:41 PM

Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Pasar Kedai Payang 1 dan 2 yang menjadi ikon pelancongan negeri ini mula menjadi tumpuan ramai sempena cuti penggal persekolahan kali ini.

Tinjauan Bernama mendapati kedua-dua bangunan yang terletak bersebelahan itu mula dikunjungi pelanggan seawal 9 pagi terutama dari luar Terengganu yang tidak melepaskan peluang bercuti ke negeri ini walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir.

Seorang peniaga pakaian dan batik Izzatulakma Baharuddin, 21, berkata beliau memulakan perniagaan sejam lebih awal iaitu sekitar 8.30 pagi pada musim cuti sekolah bagi memudahkan orang ramai membeli-belah.

Beliau berkata antara produk yang mendapat sambutan ialah kain sarung, baju kaftan dan batik 'cotton viscose' kerana harganya yang jauh lebih murah ketimbang batik sutera.

"Harga batik sutera kini sangat tinggi, melebihi RM400 berbanding ‘cotton viscose’ sekitar RM100 hingga RM150 bergantung kepada gred, kualiti dan corak manakala baju kaftan pula RM25 sehelai," katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Kedai Payang 1, di sini hari ini.

Sementara itu seorang peniaga barangan permainan, aksesori dan patung Ros Safila Mohd, 37, berkata beliau telah menjual 50 patung penyu pelbagai saiz dalam tempoh tiga jam. 

Beliau berkata pengunjung juga gemar membeli rantai kunci penyu di premisnya yang dijual antara RM5 hingga RM50, bergantung kepada saiz dan jenis.

"Kalau hari cuti sekolah begini memang ramai pelanggan. Jadi perniagaan dibuka lebih awal iaitu sekitar 8 pagi dan tutup pada 7 petang," katanya yang menjual pelbagai saiz patung penyu berharga antara RM5 hingga RM110.

Dalam pada itu seorang pelanggan Isma Hanisha Ahmad Shahir, 35, dari Kajang, Selangor berkata beliau telah merujuk ramalan kaji cuaca sebelum mengambil keputusan bercuti ke negeri ini bersama lima ahli keluarganya. 

Beliau berkata Terengganu merupakan destinasi yang wajib dikunjungi keluarganya setiap tahun kerana tertarik dengan keindahan serta keenakan makanan negeri itu.

"Pasar Kedai Payang merupakan destinasi wajib. Walaupun kami datang berlima, tetapi kami naik dua kereta berasingan kerana masing-masing nak beli banyak barang terutama keropok, serunding dan kaftan.

"Sebenarnya kami ambil risiko juga untuk datang pada musim tengkujuh tetapi mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), tidak berlaku banjir dalam tempoh seminggu ini," katanya.            

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy