KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) -- Kupu-kupu dan rama-rama masing-masing secara umumnya dapat dibezakan dari segi struktur dan warna spesis itu, kata Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Nazirah Mustaffa.
Beliau berkata kupu-kupu mempunyai sesungut yang berbentuk seakan-akan palu (tukul) dihujungnya sementara rama-rama mempunyai banyak variasi pada sesungut antaranya seperti jarum atau berbentuk seperti insang.
“Semasa dalam keadaan berehat, kupu-kupu biasanya akan melipat sayapnya menegak ke atas sementara rama-rama akan membiarkan sayapnya dalam keadaan mendatar dan rama-rama terbesar adalah dari genus Attacus (yang boleh ditemui di hutan hujan tropika termasuk di Borneo yang mempunyai bukaan sayap sehingga 24 sentimeter),” katanya kepada Bernama.
Nazirah berkata rama-rama juga boleh dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu rama-rama makro yang mempunyai saiz bukaan sayap melebihi 20 milimeter (mm) dan rama-rama mikro pula bersaiz lebih kecil.
Kupu-kupu pula mempunyai bentuk badan yang lebih membujur, aktif di waktu siang namun ada juga aktif awal pagi dan senja, manakala rama-rama mempunyai bentuk badan yang lebih lebar, aktif pada waktu malam tetapi ada juga yang keluar pada siang hari.
Beliau berkata secara purata tempoh hayat bagi kupu-kupu dan rama-rama bergantung kepada spesis masing-masing dan boleh hidup antara satu hingga enam bulan, malah ada kajian menunjukkan sesetengah spesis kupu-kupu hidup sehingga setahun.
Jangka hayat yang singkat serta diancam kepupusan menjadikan spesis kupu-kupu dari keluarga Nymphalidae dan Papilionidae dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 2010 selain spesis Troides amphrysus.
Rama-rama dari spesis Attacus atlas juga dicadangkan untuk dilindungi di bawah CITES Appendix II (1999) apabila ia dijual dalam talian antara RM80 dan RM320 bergantung kepada keadaan spesimen serangga berkenaan.
Justeru, kupu-kupu dari keluarga Papilionidae iaitu Trogonoptera brookiana atau dikenali sebagai Rajah Brooke's Birdwing diiktiraf sebagai kupu-kupu kebangsaan dan Sabah juga menjadikan Kinabalu Birdwing atau ‘Kalibambang Emas’ dipilih sebagai kupu-kupu rasmi negeri Sabah pada 13 Sept tahun lepas.
Januari tahun lepas media melaporkan dianggarkan 50 peratus spesies kupu-kupu di Asia Tenggara termasuk kupu-kupu Rajah Brooke's, akan pupus menjelang tahun 2100.
Pembantu Penyelidik Kanan Taman Kupu-Kupu, Taman-Taman Sabah (TTS) Poring, Ranau Justinah Parantis berkata dalam usaha untuk menarik kupu-kupu ke taman itu, beberapa projek kebun bunga telah diwujudkan antaranya kebun orkid, taman tropika, kebun etnobotani, kanopi berjalan kaki dan kebun Rafflesia.
Di taman seluas lebih dua hektar itu terdapat sebuah makmal pembiakan kupu-kupu bagi memelihara telur, ulat serta kepompong sebelum bertukar menjadi kupu-kupu betina dewasa dan kepadatan kehadiran kupu-kupu di taman itu biasanya antara bulan Disember hingga Mac dan Ogos.
"Ketika itulah kehadiran kupu-kupu betina Rajah Brooke's sangat dinantikan,” katanya yang pernah mendapat latihan di Natural History Museum and Institute di Chiba, Jepun selama 10 bulan pada 1995 dan menjadi pelatih di beberapa kebun kupu-kupu di negara matahari terbit itu.
Taman itu mampu memelihara kira-kira 30 ekor ulat Rajah Brooke's dalam satu-satu masa dan kupu-kupu betina akan dilepaskan ke habitat semula jadi kerana ia tidak akan bertelur jika berada dalam kurungan, sementara beberapa ekor kupu-kupu jantan akan dipamerkan untuk dilihat pelawat, tambah beliau.
“Biasanya kupu-kupu betina Rajah Brooke's hanya datang ke taman untuk bertelur, tetapi memang jarang kami nampak di tumbuhan perumah yang kami tanam,” katanya dengan menyatakan tumbuhan perumah itu ialah aristolochia foveolata yang menjadi makanan larva Rajah Brooke's Birdwing.
Justinah berkata usaha pemuliharaan kupu-kupu di taman itu bermula dari tiga sukarelawan Jepun yang mahir dalam bidang entomologi iaitu Keiko Sugimoto (1989-1993) yang membangunkan Taman Kupu-Kupu, mengajar cara-cara pemeliharaan ulat, mencari ulat dan tumbuhan perumah.
Tsuyoshi Ohkuma (1993-1996), membangunkan pameran spesimen kupu-kupu yang mati serta serangga lain dan mendiang Prof Kazuhisa Ohtsuka (1998-1999) yang mengajar cara-cara mengawet spesimen kupu-kupu dan serangga.
“Selepas itu tiada lagi sukarelawan di Taman Kupu-Kupu kerana kami meneruskan projek ini mengikut tunjuk ajar yang telah diberikan oleh sukarelawan berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA