PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik di bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan, demikian menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menerusi kenyataan hari ini, PETRA memaklumkan perincian mengenai program SolaRIS boleh didapati di laman sesawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di www.tnb.com.my.
Dalam kenyataan sama, PETRA turut mengumumkan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program Net Energy Metering (NEM).
Menurut kenyataan itu, penambahbaikan melibatkan pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaharu.
Menurut PETRA, program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar fotovoltaik solar (PV) serta menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Menurut PETRA, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150 megawatt (MW) kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
“Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian,” menurut PETRA.
PETRA memaklumkan kesemua kuota di bawah Program NEM adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun, 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan atau yang mana terdahulu.
Menurut kenyataan itu, garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my, manakala mengenai Program NEM boleh didapati di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di www.seda.gov.my.
PETRA juga memaklumkan penambahbaikan bagi pelaksanaan Program NEM dan perlanjutan skim SolaRIS akan berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2025.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya sentiasa komited memastikan pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh serta menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050.
-- BERNAMA