PADANG BESAR, 23 Dis (Bernama) -- Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan pelanjutan tempoh operasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Kesemalatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Azizam Ibrahim berkata Kerajaan Negeri Perlis berharap operasi ICQS Padang Besar dilanjutkan kepada 12 tengan malam berbanding 10 malam manakala di ICQS Wang Kelian pula beroperasi hingga 9 malam berbanding 7 malam ketika ini.
“Ini semua bagi peluang ekonomi penduduk setempat yang dapat merancakkan lagi ekonomi mereka sekiranya tempoh operasi ini dilanjutkan lagi dua jam,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri Thailand di pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan dekat sini.
Pada masa sama, Izizam meminta pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian yang ditutup pada April 2015, bagi menggalakkan kembali aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata ini kerana Arked Niaga Wang Kelian kini suram tanpa aktiviti perniagaan berikutan peniaga tidak dapat bertahan lama susulan tiada pengunjung datang ke arked niaga itu.
“Di Arked Niaga Wang Kelian ini, bagi sewa kepada peniaga pun tak bertahan lama sebab tak ada sambutan daripada pengunjung, peniaga buka kedai makan pun dalam tempoh tiga bulan, selepas itu terpaksa tutup.
“Jadinya saya nampak sekiranya free flow ini dibuka semula, orang ramai akan datang ke sini (Wang Kelian). Ia akan menghidupkan semula kawasan ini sekali gus merancakkan semula aktiviti ekonomi penduduk setempat serta aktiviti pelancongan di sini,” katanya.
Sementara itu, Izizam berkata kerajaan negeri yakin kawalan keselamatan di sempadan negara di Perlis juga bertambah baik termasuk kawalan ketat oleh Kastam dan Imigresen.
Untuk rekod, zon aliran bebas ditutup sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk serta menyekat ancaman dan penyeludupan barangan terlarang susulan penemuan penempatan sementara serta kubur besar yang terdapat mayat mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma dekat sini.
Beliau turut berharap projek menaik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di ICQS Wang Kelian seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dapat dilaksanakan tahun depan demi meningkatkan keselesaan petugas keselamatan dan pelancong.
-- BERNAMA