KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Kejohanan Pingpong Remaja dan Kadet Kebangsaan edisi ke-42 yang sedang berlangsung di Terengganu berjaya menghimpunkan lebih 500 atlet dari seluruh negara.
Presiden Persatuan Pingpong Negeri Terengganu (PPNT) Prof Madya Dr Mohd Asamudin A Rahman berkata kejohanan selama lima hari bermula semalam itu dianjurkan bersama pihaknya dengan Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau berkata sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada kejohanan itu yang dianjurkan untuk atlet bawah 15 tahun (B-15) dan bawah 19 tahun (B-19).
"PPNT amat bertuah diberi kepercayaan oleh TTAM dan MSN untuk penganjuran kali ini. Kejohanan ini diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat dalam sukan pingpong yang semakin diminati," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Kejohanan Pingpong Remaja dan Kadet Malaysia Edisi ke-42 di sini.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya.
Mohd Asamudin menambah sebahagian besar pemain dari Terengganu merupakan atlet negeri yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak Ogos lepas.
Beliau berkata untuk kejohanan kali ini, PPNT menyasarkan sekurang-kurangnya tiga gangsa daripada kategori lelaki.
"Untuk kategori perempuan kita tidak letakkan harapan tinggi kerana pasukan ini baru sahaja ditubuhkan. Kita anggap kejohanan ini adalah satu platform untuk memberi pendedahan kepada mereka bagi mempersiapkan diri untuk SUKMA 2026," katanya.
-- BERNAMA