KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Maxis menganugerahkan biasiswa kepada 16 pelajar cemerlang di bawah Program Biasiswa Maxis 2024.
Menurut Maxis program tahun ini menumpukan kepada pelajar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) bermatlamat menggabungkan bantuan kewangan dengan pendedahan industri.
"Penekanan terhadap STEM mencerminkan usaha berterusan Maxis memajukan agenda digital negara. Maxis sentiasa komited melahirkan bakat yang bersedia untuk ekonomi masa depan.
"Ini termasuk memupuk kemahiran dan kepakaran dalam persekitaran teknologi generasi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), awan, data dan 5G," menurut Maxis dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penyampaian biasiswa itu disempurnakan oleh Pengerusi Interim Maxis Datuk Hamidah Naziadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Goh Seow Eng baru-baru ini.
Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er berkata memperkasakan belia dengan pendedahan dan peluang yang betul membolehkan Malaysia melahirkan bakat berwibawa sebagai pemimpin masa depan.
“Ini selaras dengan tujuan kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan kepada lebih banyak peluang,” katanya.
Tawaran terbuka kepada penuntut negara ini yang mendaftar di universiti awam dan swasta di Malaysia dan Singapura dan tahun ini Maxis menerima sejumlah 700 permohonan.
Selain menampung yuran pengajian dan kos sara hidup, program biasiswa ini menawarkan peluang latihan amali, praktikal, dan jaminan penempatan pekerjaan dengan Maxis selepas tamat pengajian.
Sejak 2006 penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka Malaysia itu telah menyediakan biasiswa untuk membantu pelajar mencapai aspirasi akademik yang menyaksikan 346 biasiswa diberikan setakat ini.
-- BERNAMA