SUKAN

Nyholm, Milunovic Sahkan Tinggalkan Perak FC

23/12/2024 09:03 PM

IPOH, 23 Dis (Bernama) -- Pemain dari Filipina Jesper Nyholm dan pemain Serbia Luka Milunovic mengesahkan akan meninggalkan Perak FC apabila kontrak mereka berakhir 31 Dis ini.

Perlawanan menentang Sri Pahang FC malam tadi dalam kempen suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh merupakan aksi terakhir mereka bersama Bos Gaurus yang menyaksikan keputusan seri 3-3.

Kedua-dua pemain itu mengesahkan perkara berkenaan menerusi video pendek dikongsikan pada laman Facebook Perak FC hari ini.

Nyholm berkata ia perjalanan yang hebat dalam tempoh setahun setengah bersama pasukan itu dan memuji pemain Perak FC serta peminat mereka.

“Ini merupakan permainan terakhir saya untuk Perak FC, ia suatu perjalanan yang hebat selama setahun setengah, layak tahun lepas (separuh akhir Piala Malaysia) tahun ini hampir (layak).

“Saya sayangkan rakan-rakan sepasukan, kami berjuang bersama tanpa mengira lelah kami teruskan, kepada rakan-rakan saya sayang kamu, kepada peminat kami terima kasih banyak...” kata pemain pertahanan itu.

Milunovic pula berkata beliau sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan Bos Gaurus dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Perak FC serta semua peminat. 

“Perlawanan terakhir, pastinya sedih pasukan tidak layak namun saya sangat gembira saya sebahagian daripada pasukan. Dari hari pertama saya dapat rasakan sokongan daripada anda semua,” kata pemain tengah itu.

Untuk rekod, Nyholm, 31, yang menjaringkan gol malam tadi tampil dalam 29 perlawanan bersama Perak FC manakala Milunovic mencatatkan tujuh gol dan lima kali membantu jaringan dalam 28 aksi dengan pasukan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy