AM

100 Penggiat Industri Disasar Terima Sumbangan Ziarah MADANI@Finas

27/12/2024 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penggiat industri menerima sumbangan Ziarah MADANI@Finas tahun hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata setakat hari ini seramai  48 penggiat industri menerima bantuan Ziarah Seni MADANI@Finas yang bertujuan meringankan beban warga seni yang memerlukan bantuan terutama dalam aspek kebajikan dan kesihatan.

"Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan makanan itu sebagai tanda menghargai penggiat industri serta mewujudkan ukhuwah dalam kalangan mereka. Ini ialah inisiatif Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas bersama rakan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy, 60, atau lebih mesra dikenali sebagai Sathiya di kediamannya di Setapak Jaya di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi.

Teo turut menyampaikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Finas kepada pelakon yang terkenal dengan watak Ravi dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' yang mengalami serangan penyakit angin ahmar.

Mengenai Inisiatif Seni Kreatif yang bermula 1 Jan, Teo berkata setakat 20 Dis lepas seramai 6,981 Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang aktif telah berdaftar dan daripada jumlah itu, 5,065 mencarum Pelan 2 di bawah Inisiatif Seni Kreatif iaitu Program SPS Padanan Caruman 2.0.

Pelan 2 adalah tajaan pihak kerajaan sebanyak 90 peratus atau RM209.50 bagi bayaran caruman setahun berjumlah RM232.80. 

Sementara itu, Sathiya meluahkan kesyukuran dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Saya sangat gembira banyak menteri datang melawat. Segala bantuan yang diberikan memang digunakan untuk kos perubatan. 

“Setiap minggu saya perlu buat pemeriksaan di hospital sebanyak tiga kali. Rawatan akupunktur sekali pergi RM180 ... jadi bantuan ini sangat membantu meringankan beban,” katanya yang sudah berkecimpung dalam industri kreatif selama 42 tahun .

Sathiya berkata buat masa ini masih berlakon tetapi hanya mengambil tawaran yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy