SUKAN

Cheong Min Sasar Layak Ke Kejohanan Wusyu Dunia 2025

27/12/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis -- Ratu wusyu negara Tan Cheong Min berazam untuk mengekalkan persembahan cemerlang sepanjang tahun ini dengan meletakkan sasaran melayakkan diri ke Kejohanan Wusyu Dunia di Brazil dan Sukan SEA di Thailand tahun depan.

Atlet kelahiran Melaka yang beraksi dalam acara taolu itu bagaimanapun berkata ia bukan satu tugas mudah kerana format pertandingan dijangka berubah.

Cheong Min berkata beliau akan berusaha lebih keras untuk memastikan dirinya sentiasa berada pada prestasi terbaik, agar impian itu dapat direalisasikan.

"Terdapat beberapa perubahan atau penambahbaikan berkaitan kutipan mata dan tahap kesukaran, tetapi mereka belum mengumumkannya lagi. Jadi bukan sahaja untuk saya tetapi pasukan saya juga membuat perubahan pada latihan kami untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu itu.

"Jadi bagi saya, saya akan berlatih lebih gigih untuk dipilih, dan berharap jika layak ke kejohanan itu saya boleh membawa pulang pingat untuk Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai prestasinya pada tahun ini, atlet berusia 26 tahun itu berkata beliau gembira apabila berjaya memenangi beberapa kejohanan yang disertai antaranya meraih pingat emas pada Kejohanan Wusyu Asia di Macau (September) dan Piala Dunia Taolu (Oktober).

Beliau berkata selain hasil kerja keras sendiri, kejayaan yang diraih itu juga hasil bantuan staf sokongan seperti jurulatih dan ahli keluarga yang menjadi tulang belakang dalam kariernya.

"Setakat ini saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya kerana saya berjaya mencapai KPI (petunjuk prestasi utama).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan pihak pengurusan yang sangat membantu. Tanpa mereka, saya fikir mungkin saya tidak mampu melakukannya," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy