SUKAN

Kelantan Anjur GP Akhir Sirkit Remaja Kebangsaan Tahun Depan

26/12/2024 05:10 PM

KOTA BHARU, 26 Dis (Bernama) -- Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) buat pertama kalinya diberi kepercayaan untuk menganjurkan Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Remaja Kebangsaan, pada Jun tahun depan.

Presiden PBNK Dr Naharuddin Hashim berkata penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan itu, akan disertai barisan atlet muda tempatan bawah 16 tahun.

“Ini adalah kali pertama kami (PBNK) diberi tanggungjawab untuk menganjurkan peringkat akhir kejohanan badminton remaja kebangsaan, yang mempunyai tiga kategori peringkat umur iaitu bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun, membabitkan perseorangan serta beregu lelaki dan perempuan.

“Sebelum ini, Kelantan tidak pernah diberi tanggungjawab menganjurkan kejohanan ini dan ia satu penghormatan kepada negeri serta PBNK,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PBNK dan Fresh Life Water Resources (M) Sdn Bhd di Dewan PBNK), di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai tuan rumah pihaknya juga akan membariskan beberapa pemain terbaik pada kejohanan itu.

“Antara pemain yang bakal dipertaruhkan ialah Kashah Khairul Azlan, 14, yang baru sahaja menjadi naib juara bagi kategori bawah 15 tahun pada Cabaran Antarabangsa Remaja Korea Woncheon Yonex 2024 di Miryang, Korea Selatan pada 25 Nov hingga 1 Dis lepas.

“Justeru, PBNK akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan serta kerajaan negeri, bagi memastikan kejohanan itu dapat diadakan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata sebelum GP Akhir Sirkit Remaja Kebangsaan diadakan, setiap pasukan perlu menyertai dua siri jelajah Liga GP Sirkit Remaja Kebangsaan terlebih dahulu pada Mac hingga April tahun depan.

“Liga GP Sirkit Remaja Kebangsaan biasanya diadakan dalam dua siri jelajah dan setiap pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mengumpul mata sebelum melayakkan diri ke GP Akhir Sirkit Remaja Kebangsaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy