KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pemilihan calon Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hampir selesai.
Menerusi hantaran dalam Instagram Story baginda hari ini, Tunku Ismail memaklumkan calon bagi jawatan berkenaan haruslah seseorang yang mahir tentang sukan bola sepak secara profesional agar dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial dan hubungan interpersonal dalam sukan itu.
“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu bagi merangka hala tuju Harimau Malaya dan pernah bermain di peringkat tertinggi selain seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.
“...beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkaitan dasar dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” katanya.
Baru-baru ini, FAM mengumumkan dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan, sementara Nafuzi Zain pula sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan.
Cklamovski dan Nafuzi akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.
Selain lantikan kedua-dua individu berpengalaman itu, FAM turut berjanji akan membuat perubahan dan pembaharuan untuk memantapkan aspek pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang berperanan terhadap para pemain kebangsaan.
-- BERNAMA