KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Juara dua kali Vietnam terpaksa bekerja keras sebelum meraih bekalan selesa dengan menewaskan Singapura 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala ASEAN 2024 di Stadium Jalan Besar di Singapura, malam ini.
Pada pertembungan yang dramatik itu, dua gol pasukan pelawat hadir di masa kecederaan separuh masa kedua menerusi penalti pemain gantian Nguyen Tien Linh dan penyudah bijak pemain naturalisasi Nguyen Xuan Son.
Terdahulu, Xuan Son terlepas peluang keemasan untuk meletakkan skuad bimbingan Kim Sang Sik di depan, selepas rembatannya tersasar ke kanan gawang pada minit ke-37.
Vietnam yang berterusan melancarkan serangan sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan, tetapi percubaan Bui Vi Hao juga tersasar ke kanan gawang pada minit ke-63.
Berselang lima minit kemudian, Singapura hampir memperoleh gol pembukaan, namun rembatan kencang Mohamad Taufik Suparno berjaya dikeluarkan penjaga gol Nguyen Dinh Trieu.
Xuan Son sekali lagi hampa apabila jaringan cantiknya dalam kotak penalti pada minit ke-84 dibatalkan pengadil, selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain kelahiran Brazil itu.
Singapura kendalian Tsutomu Ogura akhirnya dihukum dengan penalti selepas pemain gantiannya Shakir Hamzah dipersalahkan kerana bola terkena tangan, menyaksikan Tien Linh dengan tenang menyempurnakan gol pembukaan skuad Golden Star Warriors itu.
Vietnam yang merupakan juara 2008 dan 2018 kemudian melengkapkan kemenangan bergaya mereka selepas Xuan Son menambah gol kedua di hujung permainan, sekali gus meletakkan pasukan selangkah ke final untuk menebus kekecewaan terkandas di pentas itu pada edisi lepas.
Separuh akhir kedua antara Vietnam dan Singapura dijadual berlangsung Ahad ini di Stadium Viet Tri.
-- BERNAMA