Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia terus mencatat momentum meningkat untuk hari keempat berturut-turut pada Jumaat, mengakhiri minggu dagangan Krismas dengan sentimen positif, didorong oleh aktiviti memperelokkan akaun dan unjuran pertumbuhan yang kukuh, kata penganalisis.
Dalam kalangan kaunter komponen indeks, saham utiliti menerajui kaunter untung, dipacu oleh pengumuman Tenaga Nasional Bhd mengenai cadangan perubahan tarif untuk Semenanjung Malaysia.
Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.44 mata atau 0.89 peratus kepada 1,628.14 daripada 1,613.70 semalam.
Penanda aras pasaran itu dibuka tinggi 3.86 mata kepada 1,617.56 dan bergerak kepada paras terendah harian pada 1,616.69 selepas sesi pagi sebelum mencapai paras tertinggi pada 1,632.63.
Suasana pasaran juga positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 617 berbanding 420 manakala 540 kaunter kekal tidak berubah, 845 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 2.87 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 2.47 bilion unit bernilai RM1.87 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berjaya melepasi paras halangan pada 1,620.
“FBM KLCI menunjukkan tanda-tanda peningkatan semula apabila harga bergerak melepasi purata pergerakan eksponen (EMA) utama, disokong oleh persilangan pada indikator penumpuan/perbezaan purata bergerak (MACD) yang positif.
“Kami percaya jika ia dapat kekal pada paras ini untuk jangka masa yang lebih lama, peluang untuk kenaikan seterusnya lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 56 sen atau 3.95 peratus kepada RM14.74, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.57 dan CIMB meningkat 11 sen kepada RM8.15.
IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.23 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM10.10.
Dalam saham aktif, TWL dan SNS Network, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 67 sen manakala Vanzo merosot setengah sen kepada 20 sen dan MYEG meningkat 1.5 sen kepada 96.5 sen.
JCY naik satu sen kepada 57 sen dan Cuscapi menambah 2.5 sen kepada 23 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 102.17 mata kepada 12,481.75, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 135.60 mata kepada 12,489.09 dan Indeks FBMT 100 naik 102.56 mata kepada 12,165.17.
Indeks FBM ACE meningkat 16.81 mata kepada 5,350.17 dan Indeks FBM 70 melonjak 137.79 mata kepada 18,705.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 83.64 mata kepada 19,041.96, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.32 mata kepada 174.67 dan Indeks Tenaga naik 2.47 mata kepada 824.65.
Indeks Perladangan meningkat 61.90 mata kepada 7,603.01.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.36 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 1.41 bilion unit bernilai RM1.67 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 919.28 juta unit bernilai RM85.11 juta daripada 407.26 juta unit bernilai RM29.89 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 588.15 juta unit bernilai RM131.65 juta daripada 646.78 juta unit bernilai RM160 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 179.84 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (205.73 juta), pembinaan (127.76 juta), teknologi (268.36 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.21 juta), hartanah (247.91 juta), perladangan (25.22 juta), REIT (11.63 juta), dana tertutup (14,100), tenaga (57.41 juta), penjagaan kesihatan (89.97 juta), telekomunikasi dan media (15.79 juta), pengangkutan dan logistik (44.22 juta), utiliti (50.73 juta) dan amanah perniagaan (534,700).
-- BERNAMA