KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Operasi perkhidmatan rel Rapid KL akan dilanjutkan sehingga 3 pagi manakala laluan bas terpilih beroperasi sehingga 3.30 pagi pada 1 Jan ini sempena ambang tahun baharu 2025.
Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dalam kenyataan di sini hari ini, memaklumkan pelanjutan operasi itu melibatkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL, selain jadual kekerapan tren dipertingkatkan di semua laluan rel bermula 7.30 malam 31 Dis ini.
“Menerusi lanjutan masa operasi ini, ia dapat membantu pengguna merancang waktu untuk pulang selepas selesai menghadiri acara sambutan selain dapat mengurangkan kesesakan di stesen yang berhampiran lokasi acara sambutan.
“Rapid KL menggalakkan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari sambutan dan pengguna disaran menggunakan kad Touch ‘n Go bagi kelancaran perjalanan dan memastikan baki kad mencukupi,” menurut kenyataan itu.
Prasarana memaklumkan 2,731 petugas barisan hadapan Rapid KL terdiri daripada polis bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas pada malam ambang tahun baharu untuk memastikan kelancaran perjalanan.
Lanjutan operasi bagi stesen rel dan BRT yang terlibat adalah laluan Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling, Monorel Kuala Lumpur, Kajang, Putrajaya, BRT Sunway yang membabitkan stesen seperti KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, Ampang Park, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Mutiara Damansara dan Sunway Lagoon.
Manakala antara laluan bas terpilih dan Demand Responsive Transit (DRT) kendalian Rapid KL yang dilanjutkan operasi ialah dari Taman Sri Hartamas-Lin Ho Jalan Lekiu, Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, Stesen Wangsa Maju-Lebuh Ampang, Hentian Kajang-Hab Lebuh Pudu dan Puchong Utama-Hab Pasar Seni.
Ia turut melibatkan Taman Sri Muda-Hab Pasar Seni, Stesen Stadium Kajang-Bandar Teknologi, Stesen Kwasa Damansara-Subang Suria, Stesen Sungai Buloh-Bukit Rahman Putra, Stesen TRX-Taman Maluri/Desa Pandan, Stesen Cyberjaya Utara-Cyber 11, Stesen Alam Megah-Seksyen 27 Shah Alam, Stesen Putrajaya Sentral-Presint 16 dan Stesen Glenmarie-MSU Stadium Shah Alam.
-- BERNAMA