DUNIA

Kemboja Tetapkan Matlamat Bercita-cita Tinggi Untuk 2025

28/12/2024 02:19 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 28 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 dijangka menjadi tempoh yang sibuk bagi Kemboja apabila kerajaan menetapkan matlamat bercita-cita tinggi untuk meletakkan negara itu sebagai pesaing yang lebih progresif di rantau ini.

Kerajaan Kemboja menyasarkan untuk menjadi ekonomi berpendapatan sederhana tinggi menjelang 2030 dan mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Selain itu, Kemboja berhasrat untuk menghapuskan malaria dan HIV/AIDS, serta bebas daripada periuk api pada tahun depan.

Satu lagi inisiatif kerajaan menyasarkan untuk melengkapkan pendaftaran tanah menjelang 2025, yang akan mempercepat pengagihan hak milik tanah kepada semua rakyat menjelang 2027.

Di samping itu, pembuat dasar juga sedang mempersiapkan Kemboja untuk keluar daripada status Negara Kurang Maju menjelang 2029, yang akan menamatkan keistimewaan perdagangan dan pembiayaan pembangunan.

Dari segi pekerjaan, Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional perlu mewujudkan 235,000 pekerjaan setiap tahun sehingga 2026, memandangkan kadar pertumbuhan penduduk dijangka mencecah 17 juta.

Sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk Kemboja adalah di bawah usia 30 tahun.

Perdana Menteri Hun Manet secara optimis menetapkan semula strategi pertumbuhan untuk mencapai matlamat sosioekonomi ini, serta dan membina keyakinan dalam kalangan pelabur asing.

Pembangunan infrastruktur akan menjadi tumpuan utama untuk memacu ekonomi kerajaan pada 2025, termasuk pembangunan infrastruktur mega seperti lapangan terbang, lebuh raya, pelabuhan laut dalam dan terusan.

“Saya percaya 2025 akan membuka peluang untuk ekonomi Kemboja, walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik. Untuk memanfaatkan peluang ini, kekangan terhadap transformasi struktur seperti kekurangan modal insan dan kos perniagaan yang tinggi perlu ditangani segera,” kata Perunding Bebas mengenai Rantaian Nilai Pertanian, Perdagangan dan Pembangunan yang berpangkalan di Phnom Penh Jhelum Chowdhury, kepada Bernama.

Infrastruktur penting — seperti Terusan Funan Techo bernilai RM1.7 bilion dan Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bernilai US$1.2 bilion yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2025; Pelabuhan Pelbagai Guna  Kampot bernilai US$1.5 bilion, serta Pelabuhan Pelancongan Antarabangsa Kampot — akan mengubah dinamik kesalinghubungan negara itu.

Kerajaan telah menyenaraikan 174 projek bernilai US$36.6 bilion dalam pelaburan untuk menambah baik rangkaian pengangkutan di bawah "Pelan Induk Komprehensif Sistem Pengangkutan Antara Mod dan Logistik Kemboja 2023-2033".

“Meningkatkan rantaian nilai memerlukan penglibatan yang lebih besar dalam rantaian nilai dan bekalan global. Penciptaan infrastruktur utama seperti Terusan Funan Techo adalah langkah yang dialu-alukan ke arah itu,” kata Chowdhury.

Ekonomi negara ini dilihat berada di trajektori pertumbuhan yang betul. Bank Pembangunan Asia meramalkan ekonomi Kemboja berkembang sebanyak enam peratus pada 2025, sedikit lebih tinggi daripada 5.8 peratus tahun ini.

Sektor industri, perkhidmatan dan pertanian dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Pelancongan menunjukkan potensinya sekali lagi dengan kira-kira enam juta pelancong asing mengunjungi Kemboja tahun ini. Kementerian Pelancongan menyasarkan untuk mengalu-alukan 6.4 juta pelancong antarabangsa tahun depan.

Sekurang-kurangnya 20 kapal persiaran antarabangsa tiba di Pelabuhan Autonomi Sihanoukville setakat ini, membawa 11,000 penumpang.

Untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi, Kemboja perlu mempelbagaikan ekonominya dengan mengurangkan kebergantungan pada sektor tradisional seperti pakaian dan kasut, pembuatan atau pelancongan.

Memberi tumpuan kepada industri bernilai tambah tinggi akan menarik pelaburan asing berkualiti dan merangsang pertumbuhan inklusif yang melibatkan majoriti penduduk luar bandar, kata pemerhati.

“Pertumbuhan pesat Kemboja telah didorong oleh keistimewaan perdagangan, pelancongan dan aliran masuk modal yang besar untuk pelaburan dalam infrastruktur dan hartanah.

“Kemboja perlu mengejar pemacu pertumbuhan baharu yang memerlukan kepelbagaian yang lebih besar,” kata Chowdhury.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy