KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- ‘Sudirmania’ mungkin bukan teater muzikal yang membawa penonton menyoroti kisah hidup penyanyi legenda Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, namun pementasannya berjaya mengubati kerinduan peminat terhadap penghibur nombor satu Asia itu.
Tampil dengan jalan cerita lima rakan sekampung yang berdepan pelbagai ranjau dan duri sepanjang perjalanan untuk menyaksikan konsert percuma Sudirman pada April 1986 yang mencetuskan fenomena, teater muzikal ini digarap kemas menerusi setiap lagu yang pernah didendangkan oleh Allahyarham.
Diterjemahkan menerusi lebih 20 buah lagu malar segar anak kelahiran Temerloh, Pahang itu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon, naskhah ini tampaknya berjaya menyentuh emosi dan mengembalikan nostalgia penonton terhadap penyanyi yang mendapat julukan The Singing Lawyer itu
pic-2
Lagu-lagu hit Allahyarham seperti Salam Terakhir, Jauh Di Sudut Hati, Mat Disco, Hujan, Terasing, Chow Kit Road, Basikal Tua serta Milik Siapakah Gadis Ini menjadi antara nadi kepada teater muzikal penuh emosi ini, sekali gus membuktikan betapa lagu Sudirman begitu dekat di hati rakyat.
Dipentaskan selama tiga hari bermula semalam di Panggung Bandaraya, Jalan Raja di sini, pengarah teater muzikal Khairunazwan Rodzy berkata pementasan itu dibuat bagi menghidupkan semula lagu-lagu hit Sudirman terutamanya dalam kalangan generasi muda agar terus mekar di hati masyarakat.
pic-3
“Walaupun nama Sudirman sangat dikenali, bukan semua orang mendengar lagunya. Apatah lagi kini semakin jarang diputarkan di radio. Kita mahu membawa semula karya-karya beliau yang sangat dekat dengan jiwa rakyat Malaysia
“Dan pementasan kali ini merupakan yang keempat dipentaskan, justeru, ada beberapa perubahan dan penambahan baharu berbanding pementasan sebelum ini. Kiranya sesiapa yang pernah menonton sebelum ini, pasti tidak rugi untuk menonton Sudirmania yang terbaharu,” katanya.
pic-4
Beliau yang ditemui media seusai pementasan malam tadi, berkata untuk edisi pementasan terbaharu ini, antara cabaran utama dihadapinya ialah proses pemilihan lagu yang bersesuaian selain penambahbaikan jalan cerita dalam membawa dimensi berbeza kepada masyarakat.
Justeru, Khairunazwan yang juga penulis skrip, tidak kisah mengambil masa berjam-jam untuk mendengar lagu-lagu Sudirman serta meneliti liriknya yang akan dipilih untuk diterjemahkan sebagai jalan cerita teater muzikal tersebut.
pic-5
“Kita hendak menampilkan kisah masyarakat meminati Sudirman dan lagu-lagunya yang boleh dijadikan semangat hidup. Agak sukar memilih lagu kerana perlu disesuaikan dengan skrip. Sepanjang tempoh itu, saya menemui beberapa lagu yang belum pernah didengari dan dirasakan menarik,” katanya.
Dijayakan oleh barisan pelakon Fimie Don, Amerul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd, Aidil Rosli dan Ron Isa, penerbit dan penulis lirik terkenal Datuk Habsah Hassan menyifatkan pementasan teater muzikal itu membuktikan lagu Sudirman sesuai untuk semua golongan serta kisah rakyat.
“Garapan ceritanya sangat bagus, walaupun bukan cerita Sudirman. Alhamdulillah, urutan cerita dan lagu itu sangat sesuai, saya terharu menontonnya,” katanya.
pic-6
Bagi pelakon yang terkenal dengan lakonan membuai emosi penonton yang menjayakan watak penagih dadah bernama Basir menerusi Sudirmania, Amerul mengakui jatuh hati dengan jalan ceritanya yang menarik serta gubahan lagu menyentuh hati.
“Saya pernah menonton teater ini sebelum ini, dan sejak itu saya menyimpan hasrat untuk berada di atas pentas dan membawa satu daripada watak...mana-mana watak pun tak kisah, asalkan dapat berlakon dalam naskah tersebut dan alhamdulillah dapat juga,” katanya.
pic-7
Menerusi pementasan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata ia tidak sekadar mewujudkan khalayak baharu, khususnya golongan muda, untuk mengenali dan menghargai karya penyanyi ikonik negara tersebut tetapi juga menyemarakkan lagi seni budaya.
Diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui JKKN Selangor dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER), karya agung ini turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Sudirman Asset Management dan Revolution Stage.
-- BERNAMA