AM

JKKN Pentaskan Teater Muzikal Sulalat 'us Salitin: Keagungan Kemaharajaan Maritim

26/12/2024 06:58 PM

MELAKA, 26 Dis (Bernama) -- Sebuah teater purbawara muzikal bertajuk “Sulalat 'us Salatin: Keagungan Kemaharajaan Maritim” dipentaskan selama tiga hari bermula 20 Dis lepas di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di sini.

JKNN Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan pementasan teater muzikal itu dengan kerjasama Persatuan Gerakan Anak Seni, CTRA Production dan jabatan berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan antara pelakon yang menjayakan pementasan teater itu ialah Norish Karman, Adam Lee, Rosli Rahman Adam, Serra Kamal, Zera Hariz, Fysal Saad, Herman Ghazali, Aqil Wafiq dan Wafi Aqiff.

"JKKN Melaka turut mendapat sokongan daripada Inisiatif Belanjawan 2024 oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai satu daripada bentuk pementasan naskhah karya agung. 

"Naskhah ini diiktiraf sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 serta sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

JKKN menambah teater berkenaan berkisarkan kemaharajaan maritim atau disebut sebagai pertuturan segala raja-raja atau sejarah Melayu yang menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah diikuti Raja Suran yang mengembara ke alam lautan.

Selain itu, teater itu juga mengisahkan Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana serta kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim hingga Singapura dilanggar todak, kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.

Menurut kenyataan itu pementasan teater tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada hari pertama manakala pada hari kedua, ia disaksikan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab Rahman.

JKKN memaklumkan Sulalat ‘Us Salatin merupakan refleksi jiwa dan akal budi meliputi elemen kesusasteraan Melayu klasik berelemen sejarah yang dipercayai satu-satunya yang tertua di alam Melayu. 

"Meskipun terdapat dalam pelbagai versi, koleksi ceritera di dalamnya sarat dengan falsafah, adunan elemen sejarah, sastera, ceritera rakyat serta kosmos alam Melayu," menurut kenyataan itu. 

Menurut JKKN pementasan itu diharap dapat mengangkat martabat naskhah sastera sejarah yang tinggi nilainya sekali gus menjadi platform untuk generasi muda menghayati karya klasik berkenaan dan mendapat pendedahan tentang sejarah serta keagungan kemaharajaan maritim pada suatu masa dahulu.

Dalam pada itu, jabatan itu berharap semua pihak dapat berganding bahu mencari inisiatif melestarikan budaya dengan menghayati karya agung seperti Sulalat 'us Salatin: Keagungan Kemaharajaan Maritim agar dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai khazanah warisan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy