AM

14 Pasangan Pengantin Syukur, Teruja Nikah Beramai-ramai

28/12/2024 04:25 PM

IPOH, 28 Dis (Bernama) -- Majlis Nikah Jamaie Syarie anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini menyaksikan 14 pasangan diijab kabul dalam suasana yang penuh ceria dan meriah di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini.

Majlis yang dirasmikan Pengarah (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim itu bermula dengan bacaan khutbah nikah oleh Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II Abd Farid Salleh, sebelum disusuli dengan acara lafaz akad nikah sambil disaksikan ahli keluarga pasangan pengantin.

Selesai ijab kabul, para pengantin menunaikan solat sunat disusuli sesi penyerahan mas kahwin, penyerahan tanggungjawab, majlis perarakan pengantin, majlis makan beradab dan sesi fotografi.

Harith Fadzilah berkata program dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai melangsungkan majlis perkahwinan yang mengikut syariat agama.

Beliau berkata setiap pasangan hanya perlu membayar RM3,000 untuk pakej perkahwinan berkenaan yang turut meliputi kos pengurusan pernikahan, jamuan makan dan makan beradab, bunga pahar, set pelamin, khidmat jurugambar dan penginapan hotel buat pengantin. 

“Program kali keenam itu mula diperkenalkan pada 2013 dengan yang terakhir dianjurkan lima tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu.

Sementara itu, pasangan pengantin Lokman Nor Hakim Azlina Afandy, 23, berkata beliau dan pasangannya Azren Razlan, 20, bertuah terpilih untuk melangsungkan hari bahagia secara beramai-ramai. 

"Keputusan untuk menyertai majlis pernikahan beramai-ramai itu dibuat setelah mendapat persetujuan kedua-dua belah keluarga dan kami telah membuat persiapan selama empat bulan.

"Ibu saya maklumkan tentang perkara ini (nikah beramai-ramai) dan saya pun berbincang dengan pasangan saya. Memang program ini memudahkan kami kerana semuanya telah siap disediakan, malah kami mampu merancang bajet untuk kehidupan selepas berkahwin," katanya. 

Mohd Faizul Uzairi, 42, pula berkata beliau dan pasangannya Noor Farhana Yang Ghazali, 37, mendapat tahu mengenai program itu melalui poster di laman Facebook. 

"Kami berdua berbincang dan mendapatkan restu keluarga untuk melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai dan Alhamdulillah majlis berjalan lancar, meriah serta menjimatkan.

"Program ini memberi kemudahan dan manfaat kepada pasangan dalam mendirikan rumah tangga mengikut lunas yang dituntut agama Islam," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy