JENAYAH & MAHKAMAH

Pengampunan Najib, Buli Dan Jenayah Syariah Antara Kes Mahkamah Jadi Perhatian

21/12/2024 10:16 AM

Oleh Nor Fariza Mohd Razhi dan Nordiana Barka

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Kes berprofil tinggi dan kesalahan membuli terus mendominasi gelanggang mahkamah serta menarik perhatian umum tahun ini antaranya membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tahun 2024 juga menyaksikan Malaysia terus melakar kemenangan apabila Mahkamah Agung Perancis pada 6 Nov menolak sepenuhnya tuntutan perundangan difailkan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan award akhir timbang tara berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia.

Keputusan Lembaga Pengampunan, yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan terhadap Najib kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, mencuri perhatian masyarakat kerana keputusan tersebut menyaksikan bekas Perdana Menteri itu dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Najib, yang berdepan pertuduhan pecah amanah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) bersama Mohd Irwan Serigar, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, turut dilepas tanpa dibebaskan pada 27 Nov selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan peguam kedua-dua figura.

Pada 30 Okt lepas, Najib diperintah membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding bela diri bermula pada 2 Dis lepas dengan Najib memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pembelaan memaklumkan akan memanggil sekurang-kurangnya 20 saksi.

Najib masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi dan perbicaraan kes itu ditetapkan pada 19 Mei tahun depan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut mencuba nasib dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah namun pada 3 Julai, permohonannya ditolak dan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Jan untuk mendengar rayuan Najib.

Pada 6 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membebaskan Mohd Isa daripada sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak sekali gus menyaksikan pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu dan tarikh pendengaran belum ditetapkan.

Pada 18 Nov lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan suami isteri itu oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Sept 2023.

Pasangan itu dijadualkan membela diri di Mahkamah Sesyen pada April 2025.

Pada 23 Julai, Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain iaitu hukuman mati ke atas enam bekas penuntut universiti itu sekali gus mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Menyifatkan perbuatan kesemua tertuduh sebagai kejam, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata tindakan tertuduh pertama hingga kelima menekap seterika di seluruh bahagian badan mangsa termasuk kemaluannya menunjukkan bahawa mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan serta tiada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian dan selepas itu, Zulfarhan telah disembunyikan oleh kesemua tertuduh bagi mengelakkan jenayah mereka diketahui.

Kes buli melibatkan penuntut UPNM terus menjadi bualan apabila Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (AKL) UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa di Mahkamah Sesyen pada 8 Nov atas pertuduhan mencederakan juniornya dengan seterika wap panas.

Seorang lagi pegawai kadet AKL universiti itu, Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 22 Nov atas pertuduhan memijak perut juniornya dengan but spike.

Pada 1 Mac pula, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara 13 tahun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Paul Yong Choo Kiong kepada lapan tahun dengan dua sebatan bagi kesalahan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Nov membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi yang kemudian menetapkan 13 Jan depan untuk mendengar keterangan dua saksi dari Indonesia. 

Kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais turut mencuri tumpuan apabila Mahkamah Rayuan pada 14 Mac mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki termasuk bekas pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Kes pembunuhan 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam insiden kebakaran pada 2017 kembali meraih perhatian apabila Mahkamah Persekutuan pada 21 Mac mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki berumur 22 tahun yang diperintah ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman ditolak.

Mahkamah Rayuan pada 11 Sept turut menolak permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak semula keputusannya yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan RM232.5 juta terhadap beliau dan ini bermakna bekas Perdana Menteri itu akan dibicarakan bagi pertuduhan tersebut serta pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen.

Kes membabitkan remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella turut menjadi tumpuan apabila Mahkamah Tinggi pada 2 Mei mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya remaja berkenaan selepas menolak rayuan wanita itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Pada 29 Jan, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat serta hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Enam hari sebelum itu, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Selepas 11 bulan berdepan dengan pertuduhan itu, Daim menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta dan Mahkamah Sesyen kemudian membebaskan beliau daripada pertuduhan selepas pendakwaan memaklumkan tidak lagi berhasrat meneruskan prosiding susulan kematiannya.

Pada 13 Jun lepas, ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan mangsa dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya dan 10 Jan ditetapkan untuk sebutan kes.

Turut mencuri tumpuan ialah kes Nur Farah Kartini Abdullah apabila pada 26 Julai, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris itu yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Satu lagi kes yang menjadi tajuk utama akhbar ialah pembebasan bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain daripada pertuduhan bersubahat membunuh pemandu e-panggilan iaitu Nurman Bakaratu bersama tujuh individu.

Mereka dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Tawau pada 25 Jan selepas pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes apabila saksi utama iaitu Nurima Juli ketika memberi keterangan mengaku telah menikam mangsa, yang juga bekas suaminya.

Tiga bulan kemudian iaitu pada 26 April, Nurima dan adik tirinya, Sadam Kiram didakwa membunuh Nurman yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Pengasas dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown pula dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret pada 7 Feb selepas didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pula, ibu tunggal Nurfifi Amira Nawi dijatuhi hukuman sebatan enam kali dan didenda RM4,000 selepas mengaku berkhalwat dengan seorang lelaki sekali gus menjadikan beliau wanita pertama di negeri itu yang dikenakan hukuman sebat.

Sebelum ini, beliau pernah disabitkan dengan kesalahan sama dan telah dikenakan hukuman denda.

Pada 20 Nov, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 terhadap buruh binaan Kamalruazmi Ismail kerana berkhalwat buat kali ketiga sekali gus menjadikan beliau individu pertama di negeri itu yang akan disebat di khalayak ramai.

Turut menjadi tumpuan ialah kes membabitkan insiden di Balai Polis Ulu Tiram apabila lima ahli keluarga lelaki yang menyerang premis itu sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis manakala seorang lagi cedera, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 19 Jun atas pertuduhan berkaitan keganasan dan ia kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Tidak ketinggalan kes pemandu bas yang tular kerana merujuk kanak-kanak perempuan yang dibawanya sebagai crush, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar pada 10 Sept atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak termasuk seorang anak saudara perempuannya dan dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan menghantar komen jelik dalam video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias, atau PU Azman, pula dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Sept selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun dan pada 6 Dis, dia dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki.

Kes membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) turut hangat diperkatakan di dada akhbar dan menjadi tumpuan orang ramai apabila 37 individu dihadapkan ke mahkamah di enam negeri atas pertuduhan mengugut, menganiaya, melakukan amang seksual, pemerdagangan manusia, menjadi ahli kumpulan jenayah terancang serta memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam.

Pada 23 Okt, 22 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof serta anak bekas pengasas Al-Arqam iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 23 Dis.

Kes membabitkan selebriti turut menjadi perhatian antaranya pelakon filem Pendekar Awang iaitu Fattah Amin, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, dan Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Selain itu, kes sivil turut menjadi tajuk utama akhbar antaranya keputusan majoriti 8-1 Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Turut menjadi tumpuan ialah kes Semantan Estate Sdn Bhd apabila Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 12 Sept membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung keputusan yang memerintahkan pemindahan hak milik tanah itu sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi pada 29 Mac memerintahkan Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad serta bekas Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah membayar lebih RM3.31 juta kepada syarikat tersebut berhubung pembelian dua unit kondominium mewah di ibu negara selepas membenarkan saman difailkan FGV pada 2018.

Satu lagi kes yang mendapat perhatian umum ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov yang mengarahkan Muhyiddin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim Guan Eng kerana menfitnah Pengerusi DAP itu berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Semakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat susulan pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lepas membabitkan kes berprofil tinggi antaranya pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, pencerobohan Lahad Datu dan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut mencuri tumpuan.

Antaranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Okt yang mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu, kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan pencerobohan di Lahad Datu selepas menolak permohonan semakan mereka.

Pada 8 Okt pula, Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman mati bekas peguam dan pekerja ladangnya kerana membunuh Sosilawati serta tiga pembantunya.

Bagaimanapun, mahkamah sama pada 10 Okt menggantikan hukuman mati bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri bagi kesalahan membunuh Altantuya pada 2006 dengan penjara 40 tahun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy