AM

Banjir: Kelantan Dan Terengganu Catat Peningkatan Mangsa Malam Ini

29/12/2024 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu hari ini semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kedua-dua negeri itu kembali dilanda bencana tersebut hari ini.

Di KELANTAN, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 13 PPS diaktifkan di daerah Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai setakat 8.35 malam ini.

Pemindahan itu melibatkan 10 PPS di Tanah Merah dengan jumlah mangsa banjir 389 orang daripada 118 keluarga manakala di Machang dua PPS dibuka yang menempatkan 52 orang daripada 11 keluarga serta satu PPS dibuka di Kuala Krai melibatkan 41 orang daripada 12 keluarga.

Antara PPS yang dibuka di Tanah Merah ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Nyior, SK Lawang, SK Mukim Kuala Kepok, SK Batang Merbau, SK Lalang Pepuyu, SK Gual Jedok, SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Mohamad Yakob dan PPS Kampung Kuala Paku.

Di Machang pula antaranya PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Hwa dan SK Jenereh manakala di Kuala Krai ialah SK Chenulang. 

Pada masa sama, portal InfoBanjir memaklumkan paras Sungai Golok di Kampung Jenob (F1) berada pada paras amaran iaitu 23.42 meter setakat 8.15 malam ini.

Mangsa banjir di TERENGGANU pula meningkat kepada 112 orang daripada 37 keluarga malam ini berbanding 48 orang, petang tadi. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan empat PPS telah diaktifkan setakat 8 malam ini dengan kesemuanya di daerah Hulu Terengganu. 

Ia melibatkan Balai Raya Kampung Kemat yang menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga, Balai Raya Kampung Peneh (35 orang, 14 keluarga), PPS Kampung Lubuk Periuk (20 orang, lima keluarga) dan PPS Kampung Cheting (19 orang, enam keluarga).

Menurut JPBN Terengganu, trend bilangan mangsa juga terus meningkat susulan keadaan cuaca yang masih hujan malam ini. 

Semakan di portal InfoBanjir pula mendapati empat stesen mencatatkan bacaan paras air sungai melepasi tahap bahaya dengan trend menaik iaitu di Jambatan Keruak dan Kampung La di lembangan Sungai Besut di daerah Besut serta Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) dalam daerah Hulu Terengganu. 

Selain itu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman merekodkan paras air sungai pada paras amaran.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy