AM

Pelesenan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial, Tingkat Akauntabiliti Platform - Pakar IT

01/01/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Langkah mewajibkan pelesenan bagi perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet meliputi sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia yang berkuat kuasa hari ini, disifatkan mampu meningkatkan akauntabiliti platform.

Pakar Teknologi Maklumat Dr T. Sashi Kumar berkata pelesenan itu membolehkan penyedia perkhidmatan beroperasi secara lebih bertanggungjawab dalam mengawal kandungan yang mempunyai unsur negatif serta mengelakkan kegiatan buli siber.

"Privasi dan keselamatan data juga akan dipertingkatkan iaitu platform berlesen lebih mematuhi undang-undang perlindungan data seperti Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (PDPA) dan memastikan pengendalian dan perlindungan data pengguna yang lebih baik.

"Peraturan amalan pasaran juga akan menghalang amalan monopoli dengan memastikan persaingan yang adil dan saksama antara platform media sosial dan menggalakkan media sosial tempatan untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) yang diwajibkan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu juga dapat mengawal penyebaran kandungan sensitif berunsur kaum, agama atau raja (3R).

Sashi Kumar berkata usaha itu memberikan pihak berkuasa saluran yang jelas untuk bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan media sosial dalam menyiasat serta mengambil tindakan terhadap sebarang isu yang timbul secara lebih proaktif.

Langkah pelesenan katanya dapat memudahkan pengalihan keluar kandungan yang menyalahi undang-undang dengan lebih cepat.

Senada, penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata langkah kerajaan itu adalah penting dalam mendepani cabaran ekosistem media digital antaranya isu berkaitan radikal, subversif serta isu yang boleh menggugat perpaduan terutamanya terhadap kumpulan rentan seperti kanak-kanak.

“Ini merupakan langkah terkedepan kerana banyak negara luar juga mempunyai perundangan yang eksklusif terhadap pengendali media sosial mereka seperti di Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain malahan mereka juga mengambil langkah ekstrem dengan mengehadkan pemilik media sosial itu haruslah berusia 16 tahun ke atas untuk mempunyai akaun,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata algoritma media sosial yang membolehkan hantaran negatif tular dengan mudah menjadikan kumpulan rentan sebagai sasaran justeru pengendali media sosial harus diberikan tanggungjawab. 

“Ini juga supaya mereka boleh membantu bekerjasama dalam mengawal perkara yang berhubungan dengan kesalahan jenayah, kesalahan sosial yang berkaitan dengan perilaku ataupun tatakelola dalam negara masing-masing termasuk dalam Malaysia.

“Negara sememangnya perlu mempunyai satu kuasa dominan dalam memastikan platform media sosial akur dengan peraturan kerana ia bukan bertentangan dengan hak asasi…kerana banyak negara maju turut melakukan perkara sama dalam melindungi pengguna media sosial dan demi menjamin keselamatan negara termasuk menjaga ketamadunan perilaku sosial atau identiti negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata masyarakat turut berperanan dalam mengawal algoritma media sosial sebagai usaha memastikan kandungan media sosial yang lebih selamat.

Penasihat kewangan Munirah Musthpar, 34, berkata langkah kerajaan mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon ASP(C) tepat pada masanya, memandangkan kandungan di platform berkenaan semakin hari semakin membimbangkan khususnya terhadap kanak-kanak.

"Selepas ini kandungan berisiko seperti pronografi, buli siber, scammer dan sebagainya dapat dikawal bagi memastikan penggunaan platform media sosial yang lebih selamat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

"Langkah mewajibkan permohonan lesen ini juga akan membuatkan pihak ini lebih bertanggungjawab ke atas perkhidmatan yang diberikan dan lebih proaktif dalam mengesan kandungan yang tidak sewajarnya tersiar tanpa kawalan,” katanya.

Keperluan pelesenan itu yang berkuat kuasa hari ini bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy