SUKAN

Pasukan Silambam Malaysia Mampu Bersaing Diperingkat Antarabangsa

30/12/2024 04:28 PM

GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Kejayaan pasukan silambam Malaysia melakar kejutan apabila muncul juara keseluruhan di Kejohanan Silambam Terbuka Asia di Qatar semalam membuktikan keupayaan atlet untuk bersaing di pentas antarabangsa meskipun berdepan saingan negara yang lebih berpengalaman.

Lebih membanggakan apabila kesemua enam atlet itu lahir dari Sukan Malaysia (SUKMA) dan mewakili negeri Pulau Pinang iaitu R. Prakash, B. Kavithira, M. Shasthiveena, K. Lenasshree, B. Dharnisha dan V. K. Ranishaa.

Presiden Persatuan Silambam Malaysia Dr M. Suraess berkata pihaknya berbangga dengan pencapaian ditunjukkan para atlet terbabit biarpun baru pertama kali menyertai kejohanan berkenaan dengan sasaran awal hanya enam emas.

“Mereka bertanding dengan baik di Qatar dan kita tidak menjangkakan atlet akan dapat semua emas dan muncul juara keseluruhan kerana kita sasar enam sahaja tapi dapat 12, iaitu dua kali ganda dari sasaran.

“Seperti kita tahu, India merupakan nama besar dalam sukan silambam dan mempunyai ramai pemain hebat begitu juga Qatar, ramai penyokong mereka hadir malah saingan juga sengit, tetapi atlet kita telah mempamerkan persembahan luar biasa. Biarpun ada dua atlet mengalami kecederaan, tapi mereka berjaya mengatasi kesakitan dan mendapatkan mata seterusnya menang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sejurus selepas tiba dari Qatar hari ini.

Terdahulu, kepulangan wira negara itu disambut meriah oleh ahli keluarga sambil sorakan Malaysia boleh! dan silambam boleh! bergema sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari balai ketibaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai Heng Hua.

Suraess berharap prestasi baik itu akan diteruskan pada Kejohanan Silambam Terbuka Antarabangsa tahun depan dengan Pulau Pinang dijadualkan menjadi tuan rumah dan disertai kira-kira 12 negara, termasuk negara Eropah seperti Switzerland, Jerman dan United Kingdom.

Sementara itu, jurulatih pasukan P. Raveendran berkeyakinan anak didiknya mempunyai masa depan cerah dalam sukan berkenaan memandangkan kebanyakan daripada mereka masih muda selain berpotensi untuk berkembang sekiranya mereka terus mempamerkan prestasi cemerlang di samping mengekalkan disiplin.  

Bagaimanapun, mereka masih memerlukan lebih banyak pendedahan dan latihan bagi memperkukuhkan lagi kemahiran serta mengatasi rasa gugup terutama ketika berdepan dengan lawan yang mempunyai fizikal lebih besar.

“Untuk kejohanan ini, kita hanya ada masa dalam dua, tiga bulan saja untuk buat persediaan sebab sebelum ini kita beri fokus kepada SUKMA dan kejohanan antarabangsa di Sepang.  Kita gunakan kesempatan itu untuk berlatih,” katanya.

R. Prakash,30, berkata kejohanan berkenaan merupakan pendedahan terbaik buat dirinya kerana dapat mempelajari teknik dan disiplin baharu.

“India dan Qatar bagi persaingan yang sangat sengit. Permulaan misi kami hanya sasarkan seorang satu emas saja, tapi kami dapat beri lebih. Ini merupakan satu motivasi untuk kami beri lebih lagi pada kejohanan akan datang,” katanya yang bertanding dalam kategori lelaki terbuka melebihi 60 kilogram (kg).

K. Lenasshree,14, pula berterima kasih kepada jurulatih dan persatuan khususnya MSNPP kerana memberi peluang kepadanya untuk bertanding di luar negara meskipun pada mulanya sedikit gementar kerana pihak lawan bukanlah calang-calang atlet.

Gooi pula berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya MSNPP sememangnya sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan sukan tradisional seperti silambam dan kabbadi.

“MSNPP antara yang banyak beri sokongan terhadap sukan silambam hingga para atletnya jadi tulang belakang kepada pasukan kebangsaan. Untuk kejohanan antarabangsa tahun depan, kita harap kelebihan sebagai tuan rumah dapat dijadikan ruang terbaik buat para atlet bersaing, seterusnya melakar kejayaan,” katanya.

Kejohanan itu yang disertai enam negara menyaksikan pasukan silambam Malaysia merangkul 12 pingat emas dengan setiap atlet menyumbangkan dua pingat menerusi katagori kemahiran individu dan tempur, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Pemenang pingat emas itu ialah Prakash dalam kategori lelaki terbuka melebihi 60 kg, Shastivena untuk kategori perempuan bawah 17 tahun (55kg-65kg) serta Leenasree (30kg-40kg), Kavithira (45kg-55kg), Darnisha (55kg-65kg), dan Ranishaa (melebihi 70kg) dalam kategori perempuan bawah 15 tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy