TUMPAT, 8 Jan (Bernama) -- Meskipun bisnes fotografi bayi baru lahir yang diceburi lelaki ini sejak lima tahun lepas semakin dikenali dan kukuh, Tuan Azizi Tuan Mat tetap tidak berasa puas dan mahukan cabaran berbeza dengan akhirnya memilih menceburi perniagaan penyediaan kopi atau ‘barista’.
Beroperasi di bawah kafenya sendiri yang diberi nama ‘G Coffee’ dan dibuka dua bulan lepas di Bandar Baru Tumpat, keputusan nekadnya ini tidaklah hanya terdorong kerana minat yang mendalam terhadap kopi sebaliknya lelaki berusia 37 tahun ini melihat ‘budaya kafe kopi’ yang menjadi trend masyarakat pelbagai peringkat umur tanpa mengira geografi bandar ataupun pinggir kota.
Malah, menikmati secangkir kopi yang kini menjadi gaya hidup masyarakat menjadi prospek yang mampan dan menjamin masa depan lebih baik pada pandangan anak kedua daripada lima beradik ini.
Menemuinya baru-baru ini, bapa kepada empat orang anak berusia dua hingga 11 tahun ini berkata impian untuk menjadi pemilik kafe sudah lama, namun ketika itu, masih belum ada keberanian selain tumpuan terpaksa diberikan kepada keluarga serta bisnes fotografi bayi baru lahirnya itu.
“Saya akhirnya nekad membuka kafe kerana selain mahu mencabar diri, saya berpandangan untuk kekal lama sebagai jurufoto bayi baru, agak sukar kerana fotografi itu lebih kepada kemahiran individu tetapi kalau kita ada perniagaan fizikal seperti kedai, kemungkinan boleh dilegasikan kepada anak-anak nanti.
pic-2
“Tambahan pula, bisnes fotografi bayi baru lahir yang saya usahakan sendiri bukanlah sebuah syarikat. Kalau ditakdirkan saya sakit, tiadalah job dan tidak ada lah sumber pendapatan, Jadi, ‘sustain’ jangka masa panjang saya perlu ceburi bidang lain,” katanya kepada Bernama.
Biarpun begitu, Tuan Azizi berkata bisnes fotografi bayi baru lahirnya itu akan tetap diteruskan pada masa akan datang secara sambilan sebaik operasi perniagaan kafenya itu stabil.
Menceritakan lebih lanjut perjalanannya terjun ke bidang itu sementelah lagi masih mentah dalam selok-belok perniagaan makanan dan minuman, ilmu membuat kopi dipelajarinya secara tidak formal melalui laman video YouTube selain turut mendapat tunjuk ajar daripada kenalan yang arif dalam bidang itu.
“Saya dah belajar buat kopi hampir tujuh tahun lepas, daripada kaedah manual Moka Pot ke French Press sehinggalah kepada mesin komersial seperti Breville.
“Saya juga ada buat coffee hunting untuk merasai pelbagai jenis kopi yang diusahakan pengusaha kopi lain supaya dapat belajar sesuatu,” katanya yang pernah menjual kopi botol dari rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.
Dengan mengeluarkan modal kira-kira RM60,000 untuk proses ubahsuai serta membeli kelengkapan barangan kafe, lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata hampir 90 peratus kerja dekorasi dilakukannya sendiri termasuklah mengecat, proses simen lantai dan sebagainya.
pic-3
“Ada bezanya semasa buat fotografi dan buka kafe. Skala kecil semasa jadi jurufoto, urus seorang diri, pelanggan kecil tetapi apabila ada kedai, saya perlu fikir perkara lain juga seperti kos pekerja dan juga pelanggan, ini memberi sedikit cabaran buat saya,” katanya yang mempunyai enam pekerja ketika ini.
Menawarkan lebih 30 jenis kopi menggunakan biji kopi ‘Brazil Cerrado’, beliau turut mengenengahkan lebih 20 masakan barat dengan harga yang bermula daripada RM4 sehingga RM28.
“Antara kopi yang sering menjadi pilihan ramai ialah Matcha Strawberry, Matcha Onde-Onde, Caramel Latte Ice manakala masakan barat pula ialah Crispy Fried Chicken Chop, Mashed Potato, Spicy Seafood Aglio Olio dan Smash Burger,” katanya yang turut merancang menambah menu dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA