AM

Keperluan Pelesenan Media Sosial Mudahkan Proses Keadilan Mangsa Jenayah Siber

01/01/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Keperluan pelesenan operasi media sosial yang berkuat kuasa hari ini akan memudahkan usaha pihak penguat kuasa dalam proses menegakkan keadilan buat individu yang menjadi mangsa jenayah siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata hal ini kerana kebanyakan kes jenayah dalam talian lazimnya menemui jalan buntu apabila pemilik akaun terlibat gagal dikenal pasti.

“Keperluan pelesenan ini umpama seliaan untuk mereka yang pernah menjadi mangsa (jenayah siber), sekali gus menjadi antara faktor yang menambah keselesaan dan ketenangan pengguna apabila proses untuk pihak penguat kuasa menjadi lebih mudah.

“Seliaan media sosial secara tidak langsung memastikan keadilan dapat dilunaskan dengan lebih baik terhadap mana-mana mangsa jenayah siber,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV bertajuk ‘Membina Ruang Digital yang Selamat dan Beretika’ hari ini.

Beliau berkata golongan ibu bapa kepada anak yang aktif menggunakan media sosial dijangka menjadi kelompok masyarakat yang paling mendapat manfaat langsung daripada keperluan pelesenan operasi media sosial.

“Ia secara tidak langsung memberi ketenangan kepada pengguna terutamanya ibu bapa, tetapi mereka perlu sedar bahawa aspek keselamatan dan keterjaminan penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak adalah tanggungjawab utama,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy