KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Sindiket pemalsuan dokumen dan cap imigresen yang dipercayai didalangi warga Pakistan tumpas selepas tiga suspek ditahan menerusi serbuan ke sebuah premis di ibu negara.
Operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Isnin lepas itu dijalankan hasil risikan selama tiga minggu.
Pengarah JIM Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tangkapan melibatkan suspek lelaki berusia 36 tahun, pasangan wanitanya berusia 27 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dalang wanita berkenaan.
“Kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Muhammed Saupee berkata sindiket itu dikesan aktif memalsukan pelbagai dokumen imigresen seperti pas lawatan kerja sementara, cap keselamatan imigresen, cap keluar masuk negara dan tiket penerbangan melibatkan beberapa negara serantau yang dipercayai telah beroperasi selama setahun.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai menumpukan pelanggan warga asing yang tinggal secara haram atau lebih masa di Malaysia dengan antara lain menjual cap keselamatan pada harga RM350 dengan keuntungan komisen sekitar RM150 setiap satu.
Tambah beliau, hasil serbuan ke premis itu, pasukan operasi turut merampas 18 naskhah pasport pelbagai negara disyaki palsu antaranya Filipina dan Pakistan, enam cap keselamatan imigresen, cap keluar masuk beberapa negara seperti Pakistan, Filipina, Bangladesh dan India, selain tiket penerbangan palsu.
Sementara itu, Wan Mohammed Saupee berkata sebanyak 1,520 operasi telah dijalankan oleh pasukannya sepanjang tahun 2024 di sekitar ibu negara.
“Dari 1 Jan hingga 31 Dis 2024, kita telah memeriksa seramai 8,656 individu termasuk warga tempatan dan 3,007 pendatang tanpa izin telah ditahan dengan ada antaranya telah dihantar pulang dan ada yang masih berada di depot tahanan.
“Tangkapan dijalankan turut membabitkan 171 majikan yang melindungi atau menggajikan warga asing. Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama,” katanya.
-- BERNAMA