AM

Waspada Laman Web Palsu MDAC- Imigresen

04/01/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen menasihati pelancong asing agar berwaspada dengan laman web palsu membabitkan urusan pendaftaran Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, jabatan itu memaklumkan terdapat akaun palsu menerusi pautan https://malaysia-arrivalcard.vercel.app/?gad_source=1...

“Sentiasa melayari laman web rasmi MDAC, iaitu https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main untuk mengelakkan penipuan dan melindungi maklumat peribadi anda,” menurut kenyataan itu.

Bermula 1 Jan 2024, kesemua pelancong asing yang ingin melancong atau melawat Malaysia wajib mengisi borang dalam talian MDAC sebelum ketibaan mereka.

Pengecualian itu diberikan kepada warganegara Singapura, pemegang pasport diplomatik dan rasmi, pemastautin tetap serta pemegang pas jangka panjang Malaysia, pemegang General Certificate of Identity (GCI) Brunei, kemudahan pengembara kerap Malaysia–Brunei, pemegang pas sempadan Thailand dan pas lintas sempadan Indonesia.

Ia merupakan dasar baharu ditetapkan kerajaan selaras Pelan Liberalisasi Visa Malaysia sekali gus memendekkan waktu urusan dan menunggu di kaunter daftar masuk imigresen.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy