DUNIA

Hubungan Malaysia-Argentina Dijangka Terus Mekar - Duta Nur Azman

01/01/2025 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Ketika Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun ini, Duta Besar Malaysia ke Argentina, Nur Azman Rahim menyatakan keyakinannya bahawa hubungan antara Malaysia dan Argentina bukan sahaja berada pada landasan yang tepat tetapi bakal mencapai tahap baharu.

"Marilah kita terus bekerjasama untuk merealisasikan visi bersama ini. ‘Malaysia-Argentina: The Ties That Bind (Malasia-Argentina: Los Lazos Que Nos Unen)’,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu yang disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Sepanyol.

Nur Azman menyoroti pencapaian penting yang telah dicapai Malaysia dan Argentina sepanjang tahun lepas, dengan penekanan terhadap kemajuan besar dalam kerjasama politik, ekonomi, dan sosiobudaya antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan bahawa 2024 merupakan tahun yang memperkukuhkan hubungan dua hala.

Satu daripada pencapaian penting ialah lawatan peringkat tinggi pertama dalam tempoh lima tahun oleh bekas Menteri Luar Argentina Diana Mondino ke Malaysia pada Mac lepas.

Beliau berkata lawatan itu menjadi detik penting yang memperbaharui hubungan diplomatik serta menubuhkan Kumpulan Persahabatan Malaysia-Argentina sebagai bukti kerjasama erat yang semakin berkembang.

Dari sudut ekonomi, Nur Azman berkata Malaysia telah mengulangi komitmennya terhadap aspirasi tenaga Argentina dengan menyambut ulang tahun ke-10 operasi Petronas di negara itu.

"Kami juga bersiap sedia untuk menerima kedatangan Aerodyne, pelabur baharu Malaysia yang bakal memasuki pasaran Argentina, membawa penyelesaian inovatif dalam teknologi dron,” katanya.

Mengenai kerjasama halal, duta besar itu berkata Sijil Halal Malaysia yang diiktiraf premium dan bertaraf global terus menjadi landasan kukuh bagi kerjasama ini.

"Ini dapat dilihat melalui penyertaan menggalakkan 125 syarikat Argentina dalam Seminar Halal: Eksport ke Malaysia yang diadakan pada September di Buenos Aires.

Susulan kejayaan seminar itu, sebuah syarikat Argentina turut mengambil bahagian dalam MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) dan Sidang Kemuncak Halal Global tahun ini di Kuala Lumpur, sekali gus menegaskan komitmen bersama untuk memajukan standard halal di peringkat global,” katanya.

Mengukuhkan lagi hubungan ekonomi, cawangan Malaysia bagi Dewan Perdagangan MERCOSUR-ASEAN (MACC) telah dilancarkan di Kuala Lumpur.

"Penubuhan MACC mencerminkan minat kukuh komuniti perniagaan di kedua-dua rantau untuk meneroka dan mengembangkan peluang kerjasama," kata Nur Azman.

Penglibatan ekonomi Malaysia di Argentina melalui PETRONAS, IJM Corporation, dan Seri Inderajaya Holdings Sdn Bhd meletakkan Malaysia sebagai  satu daripada pelabur terbesar di negara itu.

Pelaburan ini berjumlah lebih US$15 bilion, manakala jumlah dagangan antara Malaysia dan Argentina pada 2023 adalah US$1.6 bilion.

Perutusan penuh, yang disampaikan dalam bahasa negara tuan rumah, boleh diakses di https://www.instagram.com/reel/DECxOX4pGfQ/?igsh=MTNidGV3enM2Y2Fs

Terjemahan dalam Bahasa Inggeris turut dikongsi dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy