JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Maut Kereta Jatuh Gaung

04/01/2025 06:52 PM

KUANTAN, 4 Jan (Bernama) -- Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 152.4 Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Felda Nerek, Maran, dekat sini pagi tadi. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.07 pagi dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan Temerloh digegaskan ke lokasi. 

“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta jenis Nissan Almera telah terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam 20 kaki dan terdapat empat perempuan dewasa tersepit di dalam kenderaan terbabit. Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Semua mangsa telah berjaya dikeluarkan, bagaimanapun dua wanita maut di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata mayat mangsa buat masa ini, masih lagi berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata dua wanita yang maut dalam kejadian itu merupakan penumpang di bahagian belakang kereta Nissan Almera iaitu V. Kohmathy, 61, dan K. Vasanthy, 60, masing-masing beralamat di Selangor.

Beliau berkata pemandu, S. Nishantini, 33, dan penumpang hadapan, K. Turgaa Shini, 24, mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.

“Siasatan awal mendapati Nissan Almera yang dalam perjalanan dari Banting, Selangor ke Kuil Sri Marathandavar di Maran, hilang kawalan apabila tiba di KM152.4 Lebuhraya Pantai Timur. Kenderaan itu kemudian terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung di bahagian kiri.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, dua penumpang di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang di bahagian hadapan mengalami kecederaan parah. Hubungan keempat-empat mangsa dikenal pasti sebagai saudara-mara," katanya.

Wong turut memaklumkan bahawa semakan mendapati lesen memandu pemandu kenderaan tersebut telah tamat tempoh sejak 21 Dis lepas.

Menurut beliau proses bedah siasat dilakukan pada pukul 5.30 petang di Hospital Jengka.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy