KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini iaitu pada purata US$70 setong berbanding US$80 setong tahun lepas.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin akan menarik balik pengurangan pengeluaran.
Bank pelaburan tersebut memetik laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) daripada United States Energy Information Administration untuk November 2024 yang menyatakan pengeluar OPEC+ mungkin melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula April 2025.
"Namun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh meningkatkan premium perang ke atas harga minyak mentah disebabkan kebimbangan gangguan bekalan seperti yang kita lihat semasa krisis Rusia-Ukraine, apabila harga minyak meningkat sekitar 50 peratus (Brent: US$80 setong kepada US$120 setong)," katanya.
Bagi Malaysia, Maybank IB berkata perbelanjaan modal (capex) Petronas berpotensi lebih rendah serta ini bermakna banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berorientasikan domestik mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros dilantik secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak.
"Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini memberi impak kepada nama-nama OGSE yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta pemasangan dan pengoperasian," katanya.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini iaitu memihak kepada syarikat pengangkutan, penyimpanan dan pengagihan yang defensif dengan Dialog sebagai pilihan utama mereka.
Selain itu, ia memihak kepada pemain pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang bersedia untuk menyertai pelaburan capex global dalam bidang perairan laut dalam dan ultra dalam, dengan menamakan Bumi Armada sebagai pilihan utama mereka.
-- BERNAMA