EKONOMI

KPK Gesa Henti Import, Jual Produk Dengan Label Diskriminasi Minyak Sawit

02/01/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggesa pihak yang terlibat untuk menghentikan sepenuhnya sebarang bentuk pengimportan dan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO).  

Menurut KPK dalam kenyataan hari ini, sebarang aktiviti penampalan label DLAPO tidak akan lagi diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Tindakan tegas mengikut peraturan semasa yang berkuat kuasa bakal diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan di sepanjang rantaian bekalan produk. 

“KPK akan sentiasa memberikan sokongan padu dan kerjasama berterusan dengan pihak KPDN dalam usaha membanteras isu pelabelan yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit,” katanya. 

Katanya masih terdapat premis yang menjual produk berlabel DLAPO walaupun Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] berkuat kuasa pada 15 Mac 2022.

“Sebanyak 1,024 hari telah berlalu sejak peraturan tersebut mula diperkenalkan. Ribuan pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak KPDN di seluruh negara bermula 15 Mac 2022 dan kementerian mendapati masih terdapat premis yang menjual produk berlabel DLAPO. 

“Sepatutnya tempoh dua tahun sebagai tempoh penangguhan cukup untuk pihak yang terlibat mengambil tindakan sewajarnya seperti mengeluarkan secara sukarela produk DLAPO daripada rak-rak penjualan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy