GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja infrastruktur projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mungkin dilaksanakan serentak bagi mengurangkan kesulitan orang ramai.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berdasarkan maklumat diterima, pemilik bagi kedua-dua projek itu sedang berbincang untuk bekerjasama.
"Dengan memulakan kerja-kerja infrastruktur untuk projek jajaran LRT dan pembesaran PIA, hal ini dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kesulitan.
“Oleh itu, kedua-dua pemilik projek perlu bekerjasama supaya mereka boleh jadualkan kerja bersama-sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.
Mac lepas, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.
Kerajaan memutuskan melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset dengan pelaksanaan projek dibuat secara tender terbuka.
Projek LRT mempunyai jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.
Projek pembesaran PIA dengan kos kira-kira RM1 bilion pula telah dimulakan baru-baru ini dan dibahagikan kepada tiga pakej serta dijangka siap pada 2028.
Chow berkata kedua-dua projek itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dengan pemilik projek LRT Laluan Mutiara ialah MRT Corporation manakala pembesaran PIA sedang dilaksanakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Beliau berkata kerja-kerja awalan sivil dan struktur untuk Projek LRT Laluan Mutiara dijangka bermula tidak lama lagi apabila SRS Consortium telah dijemput sebagai tender terpilih untuk komponen projek terbabit.
"SRS Consortium merupakan kontraktor untuk kerja-kerja sivil dan struktur bagi komponen pertama segmen pertama dari Pulau Silikon ke Komtar," katanya.
Chow menyeru pihak berminat untuk mengambil bahagian dalam proses tender terbuka bagi pelantikan kontraktor bagi kejuruteraan, perolehan, reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan sistem kereta api bagi projek LRT Laluan Mutiara itu.
Sementara itu, Chow berkata proses pengambilan tanah membabitkan tanah milikan kerajaan negeri, persendirian, pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membina laluan projek LRT berjalan lancar.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar mengikut jadual tanpa sebarang masalah.
"Kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan MRT Corporation dan Kementerian Pengangkutan (MOT) sejak beberapa bulan lepas untuk meneliti butiran projek seperti depoh, pengambilan tanah dan stesen.
"Esok (Jumaat) kita (kerajaan negeri) ada lagi mesyuarat bersama MOT untuk membincangkan beberapa perkara lagi. Untuk pengambilan tanah, isu ini telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) dan setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.
-- BERNAMA