Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menubuhkan konsortium perniagaan dan melaksanakan program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) bagi memastikan golongan itu kekal kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata langkah ini adalah strategi baharu DPMM bagi memperkasakan usahawan Melayu pada 2025 selain mengatasi cabaran persaingan pasaran, perkembangan ekonomi digital dan keperluan pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut beliau, konsortium perniagaan berdasarkan sektor seperti teknologi maklumat, tenaga solar dan pembinaan akan ditubuhkan bagi menggabungkan kepakaran serta kekuatan ahli perniagaan Melayu.
“Inisiatif ini memastikan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat akses kepada projek-projek mega yang sebelum ini hanya dikuasai oleh syarikat-syarikat besar.
“Sebagai contoh, dalam bidang solar, kami telah berjaya mengumpulkan lebih 60 syarikat usahawan Melayu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia untuk membentuk konsortium yang kini mendapat perhatian Petronas bagi projek akan datang,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program E-MADANI terbitan Bernama Radio bertajuk Harapan DPMM 2025 di sini hari ini.
Setakat ini, DPMM mempunyai seramai 30,000 ahli perniagaan (syarikat) yang berdaftar di bawahnya.
Menurutnya program GEMA pula dijangka bermula Januari ini menerusi jelajah ke seluruh negara untuk mengumpulkan data dan membantu usahawan mengukuhkan infrastruktur perniagaan mereka melalui pendigitalan.
“Melalui GEMA, kami akan memfokuskan usaha memperkukuh jaringan perniagaan usahawan Melayu dengan mendorong mereka meningkatkan kemahiran teknologi, menggunakan platform digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan mereka terus relevan di pasaran.
“Selain itu, platform AduBusiness turut diperkenalkan bagi membolehkan usahawan mengemukakan maklum balas dan aduan secara dalam talian kepada DPMM untuk disalurkan terus kepada pihak berkaitan,” katanya.
Norsyahrin turut menaruh harapan tinggi terhadap Belajawan 2025, yang memperuntukkan RM40 bilion bagi menyokong PKS serta peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk membuka peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.
“Kami sedang mengatur kerjasama dengan dewan perniagaan luar negara seperti Singapura, Thailand dan Turki untuk membantu ahli kami meneroka peluang baharu di pasaran ASEAN dan global,” katanya.
Terdahulu, ketika menjadi tetamu program berkenaan Norsyahrin berkata, DPMM turut memberikan perhatian kepada ekonomi gig yang semakin berkembang selain merancang struktur sokongan yang lebih baik untuk memperkukuh kedudukan usahawan dalam sektor berkenaan.
“Ekonomi gig kini menjadi satu trend baharu dan kami mahu memastikan usahawan dalam sektor ini tidak dipinggirkan malah berpotensi untuk berkembang menjadi perniagaan berskala besar,” katanya.
“Dengan strategi berfokus ini, DPMM komited untuk terus menjadi pemacu utama dalam memperkasakan ekonomi Melayu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.
-- BERNAMA