AM

Kuih Kapit Kamsiah Jadi Pilihan Musim Perayaan Termasuk Tahun Baharu Cina

06/01/2025 03:55 PM

KANGAR, 6 Jan (Bernama) -- Kuih kapit tradisional buatan Kamsiah Tahir, 65, dari Kampung Seberang Tokpi di Kuala Perlis dekat sini yang diwarisi sejak 1984 daripada Allahyarham ibunya mendapat tempat di hati pelanggan pelbagai kaum terutama pada musim perayaan, seperti Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.

Kamsiah atau lebih mesra disapa sebagai Mak Long Kamsiah berkata dia mengekalkan resipi asli ibunya Puteh Che Pa dan kini telah banyak menerima tempahan kuih kapit itu untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada penghujung bulan ini.

"Permintaan bagi kuih kapit ini meningkat setiap kali musim perayaan, pelanggan tetap saya daripada pelbagai kaum memberikan sambutan positif terhadap keaslian rasa. Pelanggan kaum Cina suka kuih kapit yang teksturnya tidak terlalu garing.

 "Ada juga yang meminta saya tambahkan telur untuk menjadikan ia lebih berlemak. Saya bersyukur kuih kapit ini masih menjadi pilihan ramai, saya akan terus berusaha mengekalkan keaslian rasa dan kualiti kuih ini," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Kamsiah berkata resipi kuih kapit itu diilhamkan seorang rakan ibunya berbangsa Cina yang gemar menikmati kuih itu dan bermula daripada situ ibunya mula menghasilkan kuih kapit serta menjualnya di Pasar Tani Pagi di Kuala Perlis pada 1984. 

“Kuih kapit saya ini istimewa kerana ia menggunakan resipi turun-temurun yang asli. Kami kekalkan bahan tradisional seperti santan segar, tepung beras, gula dan telur gred A untuk memastikan rasa yang konsisten dan tahan lama serta tidak mudah masuk angin tanpa meletakkan sebarang inti lain," katanya.

Setiap kali musim perayaan katanya, permintaan terhadap kuih kapit buatannya itu meningkat lebih 600 balang dan setiap balang mengandungi 50 keping kuih kapit berharga RM15.

Kamsiah berkata proses membuat kuih kapit itu memerlukan masa hampir 10 jam bagi menyiapkan adunan dua kilogram tepung dan ketelitian tinggi untuk memastikan kuih itu tidak hangit semasa dimasak, selain perlu cekap dalam proses lipatan kuih berkenaan supaya bentuknya kekal sempurna.

“Saya juga memastikan kemahiran membuat kuih kapit ini diwariskan kepada anak-anak. Alhamdulillah, keempat-empat anak perempuan saya diajar cara untuk membuat kuih kapit ini sejak mereka kecil lagi kerana ia warisan keluarga yang bernilai.

"Sekarang anak bongsu Maizatul Izzati Musa berusia 24 tahun sentiasa membantu saya dan dia juga berminat untuk sambung legasi keluarga,” katanya yang turut memaklumkan pada masa ini dia hanya menjual kuih dari rumah dengan mempromosikannya secara dalam talian.  

Dalam pada itu, seorang pelanggan tetap kuih kapit itu Eng Kiau, 58, dari Kuala Perlis berkata dia menggemari kuih kapit air tangan Kamsiah sejak sekian lama dan tidak pernah ketinggalan membeli kuih itu setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina.

"Kuih kapit Mak Long Kamsiah memang lain daripada yang lain. Ia rapuh, tak mudah masuk angin, dan rasa berlemak yang sedap," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy